• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SUK, Exco Terengganu Terima Darjah Kebesaran

KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Gelaran dan Darjah Kebesaran Bintang-Bintang serta pingat kepada 111 individu di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.

Pengurniaan disempurnakan dalam Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah.

Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah antara penerima penerima Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu 2022 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda. 

Tengku Seri Bijaya Raja dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Dato' Seri.

Manakala Mohd Nor pula merupakan antara penerima Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Dato'.

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Turut bersama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Mendahului senarai penerima dengan anugerah tertinggi iaitu Datuk Bergelar, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali dan Pengarah Urusan Yen Tin, Datuk Tan Choo Meng.

Selain Tengku Seri Bijaya Raja seorang lagi penerima SSMZ ialah Pengarah Eksekutif TSLAW Tower, Tan Sri Datuk Law Tien Seng.

Selain itu, enam penerima dianugerahkan Darjah Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu, manakala 27 lagi turut menerima DPMT ialah Mufti Terengganu, Prof Dr Mohamad Sabri Haron, Pengarah Yayasan Islam, Ishamudin Hashim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Anuar Awang.

Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Abidin (S.M.Z) kepada 16 penerima.

Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu (SMT) turut dikurniakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim turut menerimanya bersama 11 penerima yang lain.

Pada masa sama, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin (A.M.Z) kepada 12 penerima, dua daripadanya merupakan ADUN Terengganu, Wan Hapandi Wan Nik, Alias Harun bersama 12 penerima yang lain.

Manakala enam lagi ADUN, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Burok), Ridzuan Hashim (Teluk Pasu), Sulaiman Sulong (Pengkalan Berangan), Ahmad Shah Muhamed (Bandar), Ab. Razak Ibrahim (Air Putih), Maliaman Kassim (Ajil) merupakan antara 36 penerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T) .