• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sukarelawan DUN Air Putih Turut Bantu Mangsa Banjir Pahang

KEMAMAN, 28 Disember- Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang dialami penduduk di Kuantan, khususnya di kawasan Sungai Isap, Taman Seri Inderapura dan Sungai Lembing apabila diuji dengan musibah banjir lumpur pada minggu lalu. 

Cakna dan prihatin akan nasib yang menimpa penduduk di kawasan tersebut, seramai 40 orang sukarelawan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Air Putih bersama-sama Skuad PAS kawasan Kemaman dan Khidmat Malaysia hadir menggembleng tenaga bagi membantu meringankan beban para mangsa yang terjejas ekoran tragedi itu.

Dialam misi bantuan banjir selama tiga hari yang bermula 23 Disember lalu, para sukarelawan yang terdiri daripada Jabatan Amal Malaysia, Ameerah Malaysia, Briged Muslimat dan Pemuda PAS kawasan Kemaman hadir bersama kelengkapan membersih.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang misi bantuan tersebut adalah program Dapur Rakyat yang mana sebanyak 2,000 pek makanan tengahari diagihkan kepada masyarakat setempat memandangkan keadaan mangsa yang masih keletihan dan sibuk mengemas kediaman masing-masing.

Selain itu, operasi pembersihan pasca banjir di sekitar kawasan setempat seperti di Sekolah Kebangsaan Pancing dan kediaman penduduk di Pekan Sungai Lembing, Taman Inderapura dan Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau turut dilakukan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim yang juga merupakan Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Daerah Kemaman berkata, mereka yang terlibat dengan banjir amat memerlukan sokongan daripada segi moral dan tenaga oleh semua anggota masyarakat.

"Ini termasuk bagi membantu membersihkan kediaman dan premis mereka yang berselut dan berlumpur.

“Diharapkan dengan kehadiran para sukarelawan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk di kawasan ini meskipun tidak dapat membantu sepenuhnya," ujanrya.

beliau turut merakamkan ucapan termia kasih kepada para sukarelawan yang telah bertungkus lumus membantu para mangsa dan menjayakan misi bantuan banjir kali ini sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

"Diharapkan semoga mereka yang diuji dengan musibah ini agar tabah dan dipermudahkan segala urusan," katanya.