• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

SUKMA XX: E-Sport Sumbang 2 Emas, 1 Perak

KUALA TERENGGANU, 21 September - Kontinjen sukan E-Sport Terengganu berjaya membawa pulang dua emas dan satu perak dengan debut pertama apabila sukan itu pertama kali dipertandingkan dalam Sukan Malaysia SUKMA XX MSN 2022.

Gandingan Muhammad Afiq Qusyairi Zamzuri dan Muhammad Faizal Razali berjaya menewaskan pasukan Johor 2-0 dalam acara PS4-Pro Evolution Soccer (PES) 2021 kategori Double bagi menghadiahkan emas pertama pasukan.

Dalam acara PS4-PES 2021 berpasukan pula, atlet Johor sekali lagi tewas kepada pasukan diwakili Muhammad Faizal Razali, Muhammad Rafiq Firdaus Junus@ Ramli, Muhammad Hanis Kamsah dan Muhammad Afiq Qusyairi Zamzuri.

Pengurus Sukan E-Sport, Mohd Fauzan Mamat menzahirkan rasa syukur kerana hari terakhir kejohanan E-Sport akhirnya membuahkan pingat kepada pasukannya, semalam.

Jelasnya, walaupun sasaran awal adalah tiga emas, kejayaan meraih dua emas memberikan kelegaan kepada pasukan.

Satu lagi pingat perak disumbangkan Muhammad Rafiq yang tewas kepada pasukan Negeri Sembilan dalam saingan PS4-PES 2021 kategori individu.

Selain PES, SUKMA XX juga menyenaraikan Mobile Legend (ML) dan Dota sebagai acara melalui sukan E-Sport.


Tag: