Sultan Johor Berangkat Tiba ke Terengganu
KUALA NERUS, 6 November - Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar serta rombongan berangkat tiba ke Kuala Terengganu, hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda dengan pesawat khas, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu, pada jam 8.40 pagi ini disambut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah, Setiausaha Kerajaan Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Nara Setia serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
Mufti Terengganu, Dato' Dr Mohamad Sabri Haron membacakan doa menyambut keberangkatan tiba Baginda di LTSM.
Baginda dan rombongan kemudian berangkat ke Istana Syarqiyyah, Chendering bagi menghadiri kunjungan hormat dan santapan pagi bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sebagai rekod, Sultan Ibrahim telah diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 (Khas) pada 27 Oktober lalu.
Sultan Ibrahim akan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada tanggal 30 Januari 2024 bagi tempoh lima tahun seperti diamalkan sebelum ini.
Baginda akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.