• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Sultan Mizan Berkenan Berangkat Meriahkan Terengganu CFA International Cat Show


KUALA NERUS, 19 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat memeriahkan Terengganu CFA International Cat Show yang akan berlangsung selama dua hari bermula 20 Julai ini di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak.

Keberangkatan baginda pada hari pertama pertunjukkan kucing itu bakal diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat
negeri, Ariffin Deraman berkata, idea penganjuran pertandingan berkenaan dicetuskan sendiri oleh Sultan dan Sultanah Terengganu.


Katanya, pertunjukkan kucing bertaraf antarabangsa yang julung-julung kali diadakan di Terengganu itu dianjurkan kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Asian Abyssinian Cat Club.

"Pertunjukan ini bakal menonjolkan kucing-kucing pedigree dan penternak kucing terbaik di rantau ini.

"Seramai 90 peserta bersama lebih 140 ekor kucing dari lebih 30 jenis baka dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Korea Selatan, Mesir dan Turki akan dipertontonkan di samping kehadiran 10 hakim dan juri pertandingan kucing daripada China, Hong Kong, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat," ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program tersebut di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, semalam.

Ariffin berkata, program sebegini diharapkan menjadi platform kepada Kempen Beautiful Terengganu, Malaysia dalam mewujudkan kolaborasi pelancongan yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak di samping ianya mampu memberi persepsi poşitif kepada agenda transformasi negeri untuk memperkasakan lagi produk destinasi pelancongan negeri.

Tag: