• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Sultan Mizan Cemar Duli Ke Terengganu CFA International Cat Show

Sultanah Nur Zahirah meneliti salah seekor kucing yang menyertai pertandingan.
KUALA NERUS, 20 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berangkat ke Terengganu CFA International Cat Show yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini.

Keberangkatan baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Muhammad Mua'az Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Fatimatuz Zahra Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menyambut keberangkatan baginda, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan timbalannya, Sulaiman Sulong.
Sultan Mizan sukacita ketika mendukung kucing baka exotic short hair.

Sebanyak 225 ekor kucing pelbagai baka daripada 140 peserta dipertandingkan dengan kehadiran 10 juri dari seluruh dunia.

Program yang julung-julung kali diadakan di negeri itu merupakan anjuran bersama Jabatan Pelancongan negeri dan Asian Abyssinian Cat Club.

Selain menjadi platform kepada penggemar kucing yang berpusat di pantai timur, acara itu juga mempromosikan Kempen Beautiful Terengganu, Malaysia dalam mewujudkan kolaborasi produk dan penganjuran untuk memperkasakan lagi destinasi pelancongan negeri.

Sekitar 5,000 pengunjung daripada pelbagai peringkat umur menghadiri pertunjukan berkenaan di hari pertama karnival.
Penganjur pertandingan menerangkan kepada Sultan Mizan berkaitan kucing-kucing yang dipertandingkan.


Tag: