• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Sultanah Nur Zahirah Titah Graduan Jaga Nama Baik Universiti

KUALA NERUS, 22 Oktober- Graduan diingatkan agar sentiasa menjaga citra dan nama baik universiti.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bertitah, sebagai duta kecil dalam masyarakat, graduan perlu menunjukkan adab dalam kehidupan bermasyarakat serta hidup dengan pekerti yang mulia sebagaimana filsafat seni motif flora ukiran Melayu.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertitah, graduan perlu gunakan ilmu yang diperoleh sebaik-baiknya agar dapat memberikan manfaat kepada manusia dan hidupan sejagat. 

"Pikullah amanah dan tanggungjawab dalam memberi khidmat bakti kepada negara, bangsa dan agama," titah Baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-21 UMT Tahun 2023 (Sidang Pertama), di sini, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat untuk meraikan graduan pada majlis itu.

Pada majlis tersebut, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin kepada Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latiff Mohamad. 

Baginda turut berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Fakulti Pengajian Maritim kepada Dato' Seri (Dr.) Michael Tio.

Pada majlis konvokesyen UMT kali ini, seramai 2,388 graduan diraikan, terdiri daripada 196 graduan pasca siswazah iaitu 46 graduan PHD dan 150 graduan sarjana.

Manakala seramai 2,192 graduan pra siswazah terdiri daripada 2,081 graduan sarjana muda dan selebihnya 111 graduan diploma. 

Titah Sultanah Nur Zahirah, sebagai Canselor, Baginda berbangga dengan pencapaian ditempa UMT yang telah berjaya meraih pencapaian 5 Bintang dalam Penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA) pada tahun 2022. 

"Pencapaian ini telah membuktikan, walaupun pada usia yang masih muda UMT sudah setanding dengan universiti-universiti terkemuka di negara ini. 

"Beta juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada UMT yang telah dipilih sebagai hos penempatan Penyandang Kursi Sains Antartika Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan telah menerima peruntukan sebanyak RM500,000 sebagai Dana
Pemula Aktiviti Kursi ini. 

"Beta berharap ini akan menyemarakan lagi
kecemerlangan akademik dalam bidang Sains Antartika di UMT dan memberikan impak yang membanggakan kepada penyelidikan Antartika Malaysia di peringkat antarabangsa, " titah baginda. 

Baginda bertitah, graduan yang dilahirkan oleh UMT diharap dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di industri, bukan hanya di peringkat tempatan bahkan di peringkat global.