• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Syafiq Farhain Dendang 'Demi Setia' Pertama Kali Di Pentas HEBAT

Syafiq Farhain (kiri) berceloteh dengan Pejo KAMI (dua dari kanan) di Stadium Negeri semalam.
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Himpunan Belia dan Beliawanis Terengganu (HEBAT)  diserikan apabila penyanyi tanah air kelahiran Terengganu, Syafiq Farhain buat pertama kalinya mempersembahkan lagu baharunya, 'Demi Setia' di khalayak ramai di pentas itu, di Stadium Negeri, di sini malam semalam.

Syafiq atau nama sebenarnya, Nursyafiq Farhain A M Salim merupakan anak arwah penyanyi popular, Saleem dari Kumpulan Iklim, buat pertama kalinya mendendangkan lagu itu di pentas HEBAT bagi meraikan peminatnya di majlis tersebut.

Lagu ciptaan Isman Hijjaz itu menjadi semakin popular di media sosial dan bakal menjadi siulan anak muda tidak lama lagi.


Ustaz Ahmad Muzani (tengah) mendendangkan beberapa buah lagu diiringi Sahabat Akustika di Stadium Negeri semalam.
Di majlis itu, Syafiq Farhain turut mempersembahkan empat buah lagu lain termasuk Nur Kasih, Sayang Maafkan Aku dan dua lagu arwah ayahnya iaitu Suci Dalam Debu dan Blues Terengganu Kita.

Beliau turut meminta orang ramai menghadiahkan al-Fatihah kepada roh arwah ayahnya yang meninggal dunia pada 14 Oktober lalu.

Sementara itu, beberapa artis turut membuat persembahan di pentas itu termasuk Kumpulan Inteam dan Ustaz Ahmad Muzani yang diiringi Kumpulan Buskers Terengganu, Sahabat Akustika.

Inteam menyajikan lima buah lagu termasuk Dia Muhammad SAW, Nur Kasih, Surat Cinta, Dia dan Ya Rabbi Ya.

Manakala Ustaz Ahmad Muzani mendendangkan beberapa lagu iaitu Seri Kandi Cinta Ku, Rahmat Mu Ya Rahman, Janji Tuhan Pasti Berlaku (lagu Soutul Amal).

Sahabat Akustika pula mempersembahkan tiga buah lagu termasuk lagu Kuala Terengganu dan dua buah lagu M Nasir iaitu Kepada Mu Kekasih dan Tanya Sama Itu Hud Hud.


Kumpulan Inteam mempersembahkan lima buah lagu nasyid di Stadium Negeri semalam.
Dalam pada itu, hadiah utama cabutan bertuah majlis itu yang berupa sebuah motosikal jenis SYM E-Bonus 110, dimenangi oleh Ahmad Faizol Mohd Yusop, dikenali sebagai Pejo KAMI.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Hilmi Harun sebagai penutup majlis himpunan belia negeri itu.

Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.

Majlis itu adalah anjuran i-MiTS bermula kelmarin yang turut dihadiri oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Tag: