• 26 Mei 2024 | 18 Zulkaedah 1445

Syarikat Berkaitan Kerajaan Terengganu Gondol Dua Anugerah

KUALA LUMPUR, 6 April - Syarikat berkaitan kerajaan Terengganu, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) berjaya menggondol dua anugerah khas sempena Healthcare Asia Award 2023 yang diadakan di Shangri-La Singapura, baru-baru ini. 

Anak syarikat TDM Berhad itu menerima anugerah Inisiatif Penjagaan Pesakit Terbaik (Patient Care Initiative of the Year) dan Inisiatif Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Terbaik (Service Delivery Innovation Initiative of the Year).

KMI dalam satu kenyataan berkata, anugerah itu diperoleh hasil pelaksanaan Hospital Mesra Ibadah dengan tema mengiktiraf inisiatif revolusi dalam sektor penjagaan kesihatan.

"Pencapaian besar bagi inisiatif Hospital Mesra Ibadah ini telah menghasilkan peningkatan yang ketara dalam kepuasan pesakit dan menerima maklum balas positif daripada pesakit dan juga kakitangan. 

"Program ini telah membantu mewujudkan persekitaran yang lebih mesra dan inklusif untuk semua pesakit, terutamanya masyarakat Islam," ujar kenyataan tersebut.

Ujarnya, ramai pesakit amat mementingkan aspek kerohanian dan keagamaan semasa mereka berada di hospital.

"Sebagai maklum balas, KMI membangunkan program komprehensif yang menggabungkan amalan dan kepercayaan agama Islam ke dalam operasi harian di samping menangani keperluan fizikal dan emosi pesakit.

"Berpusat pada matlamatnya untuk mendidik, pesakit dan keluarga mereka dibekalkan dengan maklumat dan sumber tentang keperluan agama Islam.

"Kakitangan di hospital milik KMI telah dilatih untuk memahami kepelbagaian amalan bagi pesakit Islam," jelasnya.

Menurut kenyataan itu lagi, 70 peratus kakitangan dari hospital KMI telah menyertai kursus latihan modul yang diketuai oleh pegawai agama hospital dan pakar dari hospital swasta lain.

"Untuk melengkapkannya, pegawai agama yang terlatih dan berpengalaman dalam memberikan sokongan rohani dan emosi bersedia membantu dalam solat dan ibadah.

"Pasukan kaunselor yang berdedikasi juga tersedia untuk memberikan sokongan emosikepada pesakit dan keluarga mereka semasa mereka dimasukkan ke hospital," jelasnya. 

Katanya, kemudahan yang disediakan di semua hospital KMI turut meliputi surau, tanda kiblat di setiap bilik, kit lengkap tayammum dan solat.

"Untuk mewujudkan persekitaran yang mesra dan inklusif, bilik tenang (quiet room) telah diperuntukkan khusus untuk solat dan meditasi bagi agama lain.

"E-book bertajuk 'Panduan Solat & Amalan Bagi Pesakit' dan 'Doa & Zikir Harian' disediakan kepada pesakit dan menjadi panduan menyeluruh untuk mereka bagi menunaikan solat harian," ujarnya.