• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Syukur dan Terima Kasih - Penerima Berkat 3.0

HULU TERENGGANU, 26 Jun - Rakyat Terengganu rata-rata bersyukur dengan pemberian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (Berkat 3.0) yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kehidupan seharian semasa pandemik COVID-19.

Seorang petani, Mohd Zuki Daud, 38, berkata, sumbangan berbentuk barangan keperluan harian itu amat membantu warga pekebun yang berpendapatan tidak menentu.

"Berkat 3.0 dapat bantu saya yang hilang punca pendapatan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana pergerakan terhad untuk mendapatkan baja dan peralatan tani. sekurang-kurangnya lepas belanja barang dapur," katanya yang berasal dari Kampung Pela ketika ditemubual pemberita.

Sementara itu, seorang tukang cuci di Pekan Ajil, Rosli Rani, 52, menyifatkan bantuan dari kerajaan negeri amat dialu-alukan.

"Saya amat bersyukur dengan bantuan kerajaan kerana dapat memudahkan rakyat yang sangat memerlukan pada waktu sukar ini," tambahnya.

Katanya yang juga penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi kategori B40, beliau tidak dapat meneruskan pekerjaannya akibat penutupan beberapa sektor semasa 'total lockdown'.

Abdullah Saleh, 74, pula berkata beliau bersyukur atas kecaknaan kerajaan negeri kepada mereka yang terjejas sejak berlakunya sekatan ekonomi pada tahun lepas.

"Kerajaan tidak pernah mungkir janji, apa yang saya lihat pemberian Berkat kali ini adalah yang terbaik," luahnya yang tinggal di Kampung Sungai Ara.

Sementara itu, Peniaga kedai makan, Siti Fatimah Che Ali, 62, menyuarakan pengumuman bantuan terbabit tepat pada masanya dan berharap golongan sasar yang mendapat bantuan itu diperluaskan.


"Tidak dinafikan sumbangan ini amat baik membantu mereka yang terkesan akibat COVID-19, namun saya berharap ia dapat diagihkan lebih adil dan saksama," jelasnya.

Untuk rekod, Berkat 3.0 telah dilancarkan dengan peruntukan RM6.4 juta bagi membantu golongan yang terjejas akibat penutupan beberapa sektor sepanjang sekatan penuh yang bermula 1 Jun 2021 dengan program secara bersasar berjumlah RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diagihkan secara dua fasa.