KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Tabung Perumahan Mampu Milik Negeri Terengganu merekodkan prestasi kewangan yang memberangsangkan apabila mencatat peningkatan baki akhir tahun sebanyak 15.68 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2025, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM12,647,838.00.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, peningkatan baki berkenaan mencerminkan tahap kecekapan dan komitmen tinggi semua pihak dalam menguruskan sumber kewangan tabung secara teratur dan berdisiplin.
"Insya-Allah, dengan perancangan rapi dan pengurusan kewangan yang berintegriti, Tabung Perumahan Mampu Milik Negeri Terengganu akan terus menjadi pemangkin kepada penyediaan perumahan yang selesa, berkualiti dan mampu dimiliki oleh rakyat Negeri Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran Facebook selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah Tabung Perumahan Mampu Milik Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' Nara Setia, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan SUK (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham serta Timbalan Ketua Penolong SUK (Perumahan), Dr. Tengku Chik Abu Bakar Tengku Ibrahim.

"Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk membincangkan hala tuju, merangka perancangan strategik serta meneliti dan meluluskan perkara-perkara berkaitan pengurusan, terimaan dan perbelanjaan Tabung Perumahan Mampu Milik Negeri Terengganu," jelasnya.
