• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tahap Pendidikan Orang Asli Makin Baik


Tahap pendidikan anak-anak masyarakat Orang Asli di negara ini mencatatkan peningkatan positif berikutan penambahbaikan pelbagai program dan kemudahan infrastruktur oleh kerajaan.

Menteri Pendidikan, Dato' Seri  Mahdzir Khalid berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli apabila sentiasa meningkat­kan tahap pem­­­ba­ngu­nan pen­di­dikan golongan itu yang kini semakin menarik minat mereka ke sekolah.

"Kini terdapat 99 buah sekolah komuniti orang asli di seluruh negara termasuk sebuah sekolah menengah dengan jumlah pelajarnya seramai 37,934 orang manakala tenaga pengajar seramai 329 orang.

"Terdapat lima buah sekolah kategori K9 yang menempatkan sekolah rendah dan sekolah menengah(tingkatan satu hingga tiga) dalam satu kawasan iaitu dua di Perak, dua di Pahang dan satu di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Penyerahan Bangunan Baru Sekolah Rendah Sungai Berua di perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dr Ghazali Taib.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan,  Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin, Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Matsor Ismail dan Timbalan Pengerusi Eksekutif T7 Global Berhad, Tan Sri Tan Kean Soon.

Mahdzir turut berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada pihak swasta bagi membantu pembangunan pendidikan di kalangan komuniti Orang Asli.

Sementara itu, Tan Kean Soon berkata bangunan tambahan yang bernilai RM200,000 berkenaan disumbangkan oleh T7 Global Berhad bagi memberikan keselesaan dan kemudahan pembelajaran kepada murid-murid Orang Asli.

"Selain itu, pihak kami berharap ianya menjadi motivasi kepada mereka untuk meneruskan pembelajaran dan pengajaran kepada guru-guru di samping menggalakkan kehadiran anak-anak ini ke sekolah.

"Pihak kami juga berbesar hati untuk menjadikan 104 murid-murid di sekolah ini sebagai anak angkat T7 Global Berhad, " ujarnya.


Tag: