KUALA NERUS, 1 Januari - Tahun baharu disifatkan bukan sekadar perubahan angka pada kalendar, sebaliknya mencerminkan harapan dan keyakinan terhadap masa depan negara yang lebih terjamin serta Malaysia yang terus melangkah ke hadapan secara progresif dan bersatu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, kekuatan Malaysia terletak pada asas kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan yang membentuk masyarakat majmuk, sekali gus menuntut perpaduan yang bukan hanya dilaungkan sebagai slogan, tetapi diterjemahkan melalui tindakan dan amalan seharian.
"Realiti masyarakat berbilang kaum ini membuktikan bahawa perpaduan mampu dilaksanakan dan dijayakan, khususnya di Terengganu dan di seluruh negara, sekiranya ia dipelihara dengan kefahaman, hormat-menghormati dan semangat kebersamaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, pada Program Malam Munajat Terengganu 'Ramadan Di Rindui' yang berlangsung di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Mohd Nor turut menegaskan bahawa dunia masa kini berhadapan pelbagai cabaran yang semakin kompleks, merangkumi aspek ekonomi, sosial dan kemanusiaan. Namun, beliau yakin cabaran tersebut dapat ditangani dengan berkesan melalui penguasaan ilmu, disiplin, kebijaksanaan serta penghayatan nilai kemanusiaan dan akhlak yang luhur.
Menurutnya, pembangunan negara tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu seimbang dengan kesejahteraan sosial, keadilan dan pembinaan sahsiah masyarakat.
Beliau turut mendoakan agar tahun 2026 membuka ruang kepada persefahaman yang lebih mendalam, kerjasama yang lebih erat serta masa depan yang lebih sejahtera untuk seluruh rakyat.
"Marilah kita melangkah ke hadapan dengan semangat kebersamaan, saling mempercayai serta tekad yang kukuh, berlandaskan ketakwaan kepada Allah SWT, keimanan yang mantap dan amalan soleh demi Terengganu dan Malaysia yang kita cintai," ujarnya.