• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

'Tak Perlu Ganggu PASTI' - Guru

KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Majoriti guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) menyarankan pihak-pihak tertentu agar tidak mengganggu institusi terbabit yang kini beroperasi baik dengan silibus pelajaran yang tersusun dan berkesan. 

Guru Pasti, Bibi Izzati Nadia Kama, 32, berkata, perkara itu diakui oleh ibu bapa sehingga ada yang tidak percaya terhadap perubahan besar anak mereka selepas menuntut di Pasti.

Katanya, suasana di Pasti pada ketika ini berada dalam keadaan harmoni dan pelajar-pelajar sangat tenang ketika menimba ilmu.

"Jadi pada saya tidak perlu ada anasir luar yang dikhuatiri mahu merobek suasana tenteram yang ada ketika ini.

"Kita mengalu-alukan pihak yang mahu menambah baik Pasti, tetapi biarlah dengan cara yang betul dan menghormati Pasti, bukan yang ada agenda-agenda tertentu," katanya ketika ditemui pemberita.

Jelas Bibi Izzati, pihak-pihak tersebut tidak perlu cemburu dengan Pasti, kerana apa yang dilakukan institusi itu hanya demi masa depan baik anak-anak pelajar.

"Selama ini terbukti, Pasti telah puluhan tahun melahirkan para pelajar yang memiliki akhlak yang baik, faham agama di awal usia, bahkan tahu pelbagai doa dan seawal usia juga diajar menghafal surah al-mulk," katanya.

Ujarnya lagi, mereka dengan rela hati memilih bidang itu dan merasa gembira kerana sentiasa menerima bantuan-bantuan lain dari pelbagai pihak.

“Dari sudut kebajikan tu memang terjaga, jadi tidak betul jika ada pihak yang mengatakan guru Pasti terabai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat pun selalu turun padang mengambil tahu dan cakna mengenai hal ehwal guru-guru,” katanya.

 

Bagi Nur Farah Syuhada Johari, 27, yang telah enam tahun mengajar di sebuah Pasti di daerah ini berkata, walaupun dia bekerja dengan Pasti secara sukarela, tetapi imbuhan yang diterima sentiasa cukup untuk menampung kehidupannya.

“Sebelum ini saya kerja di pelbagai bidang. Saya buat keputusan untuk mengajar di sini sebab selain suka melayan keletah kanak-kanak, malah tanpa sedar sebenarnya kita dapat belajar sesuatu dari anak-anak ini terutamanya mengenai ilmu agama.

“Saya ikhlas mengajar mereka, seronok tengok anak-anak Pasti seawal umur empat, lima tahun sudah menguasai pelbagai surah, hadis dan doa harian,” ujarnya.

   

Sementara itu, Nur Amirah Shahidah, 26, berkata, walaupun memiliki diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, dia lebih memilih untuk berkhidmat di Pasti memandangkan kebajikannya sentiasa terjaga.

“Sepanjang enam tahun saya bergelar guru Pasti, kebajikan saya dan rakan-rakan yang lain tidak pernah diabaikan. Kami mendidik anak-anak ini bukan untuk mendapatkan bayaran yang lumayan, tetapi mengharapkan mereka dapat menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Itulah ‘hadiah’ yang paling bermakna buat kami sebagai guru Pasti,” ujarnya.