• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

TDM Berhad Kongsi RM1 Juta Keuntungan Kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 September - Kumpulan TDM Berhad telah membuat pembayaran perkongsian keuntungan sebanyak RM1,048,928 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) hari ini di Wisma Darul Iman.

Cek pembahagian keuntungan telah diserahkan kepada Setiausaha LTAWNT, Abd Razak Abd Rahman oleh Pengarah TDM Berhad, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar.

Pembayaran keuntungan itu adalah hasil daripada usaha sama syarikat tersebut.

Pendapatan perniagaan bahagian perladangan mendatar pada RM188.4 juta tetapi mencatatkan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) dan isirong sawit (PK) yang lebih tinggi pada tahun 2019 berbanding tahun 2018, di mana masing-masing adalah sebanyak 15 peratus dan 13 peratus.

Walau bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi dengan harga jualan purata CPO dan PK yang lebih rendah iaitu sebanyak 8 peratus dan 32 peratus.

Pengerusi TDM, Yang Mulia Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin berkata, pembayaran keuntungan adalah bagi membuktikan komitmen syarikat untuk memberikan sumbangan yang berterusan kepada pemilik tanah, hasil daripada tanah yang diuruskan.

"LTAWNT memiliki 1,336 hektar ladang kelapa sawit yang dibangunkan oleh TDM Berhad melalui usaha sama yang ditubuhkan sejak tahun 1996," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan, dan kumpulan pengurusan TDM.

TDM Berhad menjalankan perniagaan mengikut garis panduan Pematuhan Syariah untuk mengekalkan tahap operasi dan produk yang tinggi serta akan terus memberikan nilai, kualiti, dan kecemerlangan kepada semua pihak yang berkepentingan.

"Syarikat kami menjangkakan akan kembali dalam status Pematuhan Syariah berdasarkan metodologi saringan Pematuhan Syariah dalam penilaian seterusnya pada bulan November 2020," jelasnya.