• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TDM Catat Peningkatan EBITDA 2.5 Kali Ganda Suku Pertama 2024

KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Syarikat milik kerajaan negeri, TDM Berhad, melaporkan prestasi kewangan positif bagi suku pertama tahun kewangan 2024 yang berakhir pada 31 Mac 2024 (1QFY2024). 

Dalam pengumuman semalam, TDM Berhad mengumumkan peningkatan Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak 2.5 kali ganda Tahun ke Tahun (YoY) kepada RM19.3 juta.

Menurut kenyataan media TDM Berhad, keputusan itu didorong oleh prestasi cemerlang dari Bahagian Penjagaan Kesihatan dan strategi pengoptimuman kos di Bahagian Perladangan.

“Bahagian Penjagaan Kesihatan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak sembilan peratus YoY, yang disebabkan oleh peningkatan purata hasil setiap pesakit sebanyak 13 peratus.

“Walaupun kos ubat-ubatan dan bekalan perubatan meningkat, Bahagian ini berjaya mencatatkan EBITDA sebanyak RM11.2 juta,” jelas kenyataan tersebut.

Tambahnya, Bahagian Perladangan mencatatkan penurunan hasil sebanyak lima peratus YoY kepada RM50.4 juta, disebabkan oleh penurunan jualan minyak sawit mentah (CPO) dan minyak inti sawit (PK).

Walau bagaimanapun, peningkatan pengeluaran Tandan buah segar (FFB) sebanyak lapan peratus dan inisiatif pengoptimuman kos menyumbang kepada peningkatan EBITDA yang ketara sebanyak RM13.4 juta berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

"Selain itu, Kumpulan mencatatkan pengurangan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak 66 peratus dari RM17.5 juta kepada RM5.9 juta pada tempoh ini.

“Pengumuman ini menunjukkan komitmen TDM dalam meningkatkan prestasi kewangan melalui strategi yang berkesan di kedua-dua bahagian utama mereka,” tambah kenyataan tersebut.

 


Tag: