• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

TDM Terengganu Laksana Langkah Perkukuh Jualan Masa Depan Minyak Sawit Mentah

TDM Plantation Sdn. Bhd. meterai perjanjian dengan Ikhasas CPO Sdn. Bhd. semalam.
KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Kumpulan TDM Berhad (TDM) melaksanakan langkah-langkah inovatif untuk memperbaiki kedudukan, baik dari segi operasi dan juga kewangan melalui pembekalan jangka sederhana dan perjanjian bayaran pendahuluan bagi memperkukuh jualan masa hadapan Minyak Sawit Mentah (MSM). Ianya berikutan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan harga minyak sawit mentah yang rendah.

Bagi tujuan tersebut, TDM mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) telah memeterai perjanjian pembekalan jangka sederhana dengan Ikhasas CPO Sdn. Bhd. semalam untuk membekalkan MSM atau yang disahkan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang mana aturan bayaran pendahuluan oleh Ikhasas kepada TDMP berjumlah RM189 juta.

Transaksi yang dicadangkan akan menjadi penyumbang utama kepada TDM dalam melaksanakan pelan perniagaan serta dapat mengukuhkan prestasi kewangan dan mengurangkan tahap liabiliti.

Pengerusi TDM Berhad, YM Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin, berkata, fokus utama transaksi itu adalah untuk menyokong Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) dan Rancangan Pembangunan Perniagaan (BDP) serta inisiatif lain untuk mengukuhkan kebolehan Kumpulan untuk pertumbuhan yang mampan pada masa hadapan.

"TDMP telah memperoleh sijil RSPO dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Pada 2013, kami adalah syarikat perladangan pertama di Terengganu yang melepasi piawaian semasa dan dianugerahkan persijilan RSPO. Kami 100% komited terhadap prinsip dan kriteria dari RSPO.

"Selama bertahun-tahun, kami telah menghasilkan produk-produk yang berkualiti melalui usaha yang berterusan dari segi jaminan kualiti, amalan pertanian yang baik dan pengeluaran minyak kelapa sawit mentah yang mampan. Usaha kami terhadap penjagaan kualiti secara langsung menyebabkan wujudnya permintaan terhadap produk kami yang membawa kepada perjanjian ini," katanya.

Dalam perjanjian tersebut, TDMP akan menerima bayaran pendahuluan melalui 3 fasa iaitu sebanyak RM63 juta setiap satu bayaran dan TDMP akan membuat penghantaran secara bulanan sebanyak 2,500 metrik tan MSM kepada Ikhasas dalam tempoh 43 bulan. Transaksi yang dicadangkan oleh TDMP dengan Ikhasas adalah mematuhi prinsip syariah. TDM sangat menitikberatkan sistem kewangan Islam dan secara keseluruhannya operasi itu adalah menurut prinsip syariah.

Bayaran pendahuluan transaksi dengan jumlah keseluruhan RM189,000,000 dengan 3 fasa di mana bayaran tersebut adalah untuk pembayaran balik pinjaman Kumpulan TDM (RM52.5 juta), perbelanjaan modal untuk perniagaan Kumpulan TDM Plantation (RM10.0 juta), modal kerja (RM125 juta) dan anggaran perbelanjaan yang berkaitan dengan transaksi (RM1.5 juta).

Untuk rekod, TDM Berhad telah ditubuhkan pada tahun 1965 dan tersenarai di papan utama Bursa Malaysia dengan perniagaan teras dalam perladangan kelapa sawit dan penjagaan kesihatan.

Bahagian perladangan, TDM menguruskan 16 ladang kelapa sawit dan tiga (3) buah kilang di Terengganu dan Indonesia.

TDM Plantation Sdn Bhd telah memperoleh sijil RSPO dan MSPO. RSPO menyediakan kerangka yang paling sesuai yang mengambil kira ciri-ciri ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam pembangunan dan pengurusan ladang dan kilang.

Ia menyokong sasaran pertumbuhan ekonomi, promosi kehidupan luar bandar yang baik dan amalan penjagaan alam sekitar dan lestari.

Di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMDI), TDM mempunyai empat hospital pakar dengan menawarkan penjagaan sekunder dalam semua bidang utama kesihatan.

Hospital-hospital tersebut adalah Kelana Jaya Medical Centre (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Kuantan Medical Centre (KMC), Kuantan, Pahang, Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS), Kuala Terengganu dan TDMC Hospital, Kuala Lumpur.

Tag: