• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

TDM Umum Pelupusan Aset Di Indonesia Kepada Ikhasas

KUALA TERENGGANU, 29 Mac- TDM Berhad menerima tawaran daripada Ikhasas Sdn. Bhd. bagi penjualan PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezki Abadi (SRA) untuk pertimbangan cadangan pelupusan agregat tunai sebanyak RM115 juta termasuk deposit pendahuluan bernilai RM2.3 juta.

Tawaran tersebut adalah bersyarat dengan TDM dan Ikhasas memenuhi syarat khusus tertentu yang telah dipersetujui dalam tempoh enam bulan dari tarikh penerimaan tawaran atau satu tempoh lebih lama yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
 
Pihak syarikat akan berunding secara eksklusif dengan pembeli berkenaan Cadangan Pelupusan dalam tempoh ini atau sehingga tarikh yang kemudian, seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Menurut kenyataan, RKA dan SRA masing-masing telah diperbadankan pada tahun 2007 dan 2011 di bawah undang-undang Republik Indonesia dengan aktiviti utama dalam penanaman kelapa sawit, perdagangan minyak sawit dan produk lain yang berkaitan. 

“RKA telah mengalami kerugian sejak tahun pertama pengeluaran, manakala SRA tidak menjalankan sebarang operasi sejak pengambilalihan oleh kumpulan TDM pada tahun 2015. 

Kedua-dua syarikat dijangka tidak dapat menjana keuntungan dalam tempoh terdekat.

“TDM telah merekodkan kemerosotan nilai pelaburan (impairment) aset Indonesia sejak tahun kewangan 2017 berjumlah RM729 juta. Kedua-dua anak syarikat kumpulan TDM di Indonesia itu juga telah diklasifikasikan sebagai aset dipegang untuk jualan sejak tahun kewangan berakhir 2019,” kata kenyataan itu.


Tag: