lightning-solid
Berita :
Teluk Kalong Makin Popular Sebagai Destinasi Surfing Musim Tengkujuh
Teluk Kalong Makin Popular Sebagai Destinasi Surfing Musim Tengkujuh
Hafiz Rosli
1 hari yang lepas
978

KEMAMAN, 3 Disember – Pantai Teluk Kalong menjadi destinasi pilihan penggemar sukan luncur ombak apabila musim monsun timur laut bermula dan mempunyai ombak yang konsisten sepanjang tempoh Oktober hingga Mac.

Salah seorang penggiat sukan luncur ombak sejak 2012, Mohd Hazimi Muhamad @ Mansor, 40, berkata keistimewaan Pantai Teluk Kalong terletak pada geografi pantainya yang terlindung oleh bukit serta bentuk teluk semula jadi.

Menurutnya, ia menjadikan kawasan itu sesuai untuk meluncur walaupun angin kuat datang dari arah timur laut serta menarik perhatian peluncur tempatan dan luar negara.

“Pantai ini bukan sahaja terkenal dengan ombaknya, malah kemudahan yang tersedia turut menjadikan Teluk Kalong pusat komuniti peluncur Kemaman.

“Tandas awam, medan selera, wakaf, tempat mandi, tempat BBQ semuanya sudah ada hasil usaha bersama Kemaman Surf Club (KSC) dan Teluk Kalong Boys (TKB). Sebab itu pantai ni jadi tempat berkumpul semua peluncur,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja Exco Pelancongan ke tapak khemah sukan luncur ombak bertempat di pantai Teluk Kalong baru-baru ini.

Mohd Hazim berkata lebih menarik lagi, pantai ini turut menjadi lokasi kepada ‘The Quarry Surf School’ sekolah meluncur ombak pertama di Kemaman, 

“Inisiatif tersebut membuka peluang kepada orang ramai, terutama masyarakat setempat, untuk mempelajari sukan tersebut secara lebih tersusun,” katanya.

FB_IMG_1764760915000.jpg 308.24 KB


Hazimi yang berasal dari keluarga Teluk Kalong dan masih menetap di rumah keluarganya yang juga dijadikan hotel pantai, berharap lebih ramai anak muda tempatan berjinak-jinak dengan sukan itu.

“Harapan saya, biar lebih ramai orang Kemaman, khususnya orang Teluk Kalong, cuba jadikan luncur ombak sebagai hobi. Kalau berminat, boleh terus hubungi The Quarry Surf School,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menyatakan sokongan penuh terhadap perkembangan aktiviti luncur ombak di Pantai Teluk Kalong, Kijal yang kini menjadi lokasi pilihan pada musim tengkujuh.

“Teluk Kalong mempunyai keunikan tersendiri dengan suasana yang tenang, pemandangan yang menarik serta latar belakang rig dan kapal yang menjadikan kawasan itu lebih istimewa berbanding pantai lain.

“Saya menyambut baik usaha komuniti dan penggiat sukan yang mempromosikan Teluk Kalong sebagai pusat aktiviti luncur ombak.

“Namun, yang paling penting adalah aspek keselamatan. Kita mahu aktiviti ini berkembang, tetapi keselamatan tetap diutamakan,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan