• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Tempoh Bayaran Cukai Tanah Terengganu Bagi Tahun 2019 Dilanjutkan


KUALA TERENGGANU, 3 Jun – Tempoh bayaran cukai tanah tanpa denda bagi negeri Terengganu untuk tahun 2019 telah dilanjutkan oleh pihak berkuasa negeri.

Timbalan Pengarah Tanah dan Galian (Pendaftaran) Terengganu, Wan Khalid Wan Jusoh berkata, lanjutan tempoh tersebut menyaksikan ia akan berakhir pada 31 ogos nanti.

Katanya, pembayaran awal sebelum tarikh akhir tersebut boleh mengelakkan daripada dikenakan denda lewat bayar yang bermula pada 1 September 2019.

“Bayaran cukai tanah termasuk tunggakan dan denda pula bolehlah dibuat di semua kaunter bayaran di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Terengganu, Pejabat-Pejabat Tanah Daerah seluruh Terengganu dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Paya Bunga Square,” jelasnya.

Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan beberapa hari lalu.

Wan Khalid berkata, segala urusan tersebut sama ada di kaunter PTG, hasil Pejabat-Pejabat Tanah Daerah dan UTC  Paya Bunga Square adalah pada waktu dan hari bekerja.

Bayaran tersebut boleh dijelaskan dengan menggunakan kad debit atau kad kredit di semua kaunter hasil berkenaan, manakala bayaran secara atas talian juga boleh dilakukan dengan menggunakan perkhidmatan Maybank2U di https://www.maybank2u.com.my/.

“Untuk kaunter di PTG dan hasil pejabat-pejabat Tanah daerah ia dibuka pada Ahad hingga Rabu pada pukul 8 pagi dan berakhir 4.30 petang, manakala hari Khamis, ia bermula 8 pagi hingga 3 petang.

“Bagi kaunter di UTC pula, Ahad hingga Khamis ia beroperasi pada jam 1 tengah hari hingga 10 malam, dan 7 hingga 8 malam ditutup untuk waktu rehat, pada Jumaat dan Sabtu pula ia bermula pada 8 pagi dan ditutup tepat jam 5 petang, operasi berhenti rehat 12 tengah hari hingga 3 petang,” katanya.


Tag: