• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Anjur Himpunan Pendidik Islam Malaysia (HPIM) 6.0



KUALA TERENGGANU, 11 April - Terengganu bakal melakar sejarah dengan kehadiran semua warga pendidik dari seluruh pelusuk tanah air apabila menganjurkan Himpunan Pendidik Islam Malaysia (HPIM) 6.0 peringkat kebangsaan pada Sabtu ini.

Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK)Normala Sudirman berkata, himpunan itu menghimpunkan semua pendidik daripada pelbagai institusi pendidikan seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR), tahfiz, madrasah, pondok, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) serta sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Jelasnya, perbincangan mengenai pembentukan generasi pelapis negara yang berkualiti akan menjadi topik utama dalam himpunan tersebut dengan menggunakan tema ‘Guru Pembina Generasi Rabbani’.

“Jutaan terima kasih atas kesudian pihak kerajaan negeri menjadi penganjur bersama. 

“Kita berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi membentuk modal insan yang cemerlang dan gemilang bersesuaian dengan tema himpunan pendidik pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi sempena HPIM 6.0, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar akan memeriahkan himpunan itu apabila dijangka hadir bagi merasmikan majlis penutup.

Program yang bakal berlangsung di Stadium Negeri Terengganu itu turut menampilkan Ahli Parlimen Marang yang juga Tokoh Murobbi Ummah 2015, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam slot Bicara Murobbi.

Himpunan berkenaan juga sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap tenaga pengajar, aktivis serta Non-Government Organization (NGO) pendidikan atas usaha memartabatkan pendidikan di persada negara.

Program tersebut merupakan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS).



Tag: