• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Terengganu Belanja RM5.4 Juta Untuk Anugerah Sarjana YT

Menteri Besar menyampaikan insentif kepada seorang pelajar di Majlis Anugerah Sarjana YT Tahun 2017 di Cindai Ballroom, Duyung Marina Resort, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Zulkifli CW Putra

Terengganu membelanjakan RM5.4 juta sebagai insentif Anugerah Sarjana Yayasan Terengganu (YT) kepada 1,427 pelajar  sejak 1998 hingga tahun ini.

Insentif itu sebagai pengiktirafan kepada pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mendapat keputusan Kepujian Kelas Pertama, masing- masing RM5,000 bagi Anugerah Ijazah Sarjana Muda (Iktisas) dan RM3,000 untuk Ijazah Sarjana
Muda (bukan Iktisas).

Daripada jumlah itu, seramai 200 pelajar
menerima insentif membabitkan perbelanjaan berjumlah RM672,000 pada tahun ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, daripada 200 pelajar berkenaan, 36 daripadanya mendapat RM5,000 seorang menjadikan jumlah RM180,000, manakala 164 lagi menerima RM3,000 seorang dengan jumlah RM492,000.

"Dari tahun ke tahun jumlah insentif ini meningkat dan tiada masalah untuk
kita sediakan ganjaran ini walaupun kerajaan negeri berdepan kekangan kewangan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Sarjana YT Tahun 2017 di Cindai Ballroom, Duyung Marina Resort, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah YT, Ishamudin Hashim dan Pengarah Jabatan Pendidikan vNegeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Dalam pada itu, Ahmad Razif juga mahu YT bersama Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) supaya terus memfokus dan memantau pelajar Terengganu di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bermula dari semester pertama lagi agar mereka dapat meneruskan kecemerlangan termasuk meraih anugerah dekan.


"Saya juga minta Yayasan Terengganu dengan Permata memberi fokus kepada pelajar sejak semester satu, semester dua dan seterusnya supaya pantau pelajar agar kita dapat sediakan insentif dan galakan atas kejayaan mereka termasuk memperolehi anugerah dekan.

"Manakala pelajar universiti yang tidak berapa bagus juga dibantu sepertimana pelajar UPSR kerana kita akan terus memberi fokus kepada pelajar cemerlang bukan hanya dalam peperiksaan awam sahaja, malah di peringkat universiti juga dapat kekal terbaik,"katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga mahu memastikan pelaburan dalam bidang pendidikan ini mendapat pulangan setimpal dan program sifar keciciran pelajar ke universiti tercapai apabila semua pelajar dapat menempatkan diri di IPT serta pusat latihan dan pengajian termasuk di bawah kerajaan negeri seperti di Kolej Universiti Tati (TATiUC), Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) dan Pusat Latihan Perkayuan Terengganu (TTITC).


Tag: