• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Bentuk Modul Kursus Kahwin Baharu Bendung Kes Cerai

KUALA TERENGGANU, 16 November – Kerajaan negeri akan membentuk satu modul baharu berkaitan dengan kursus pra-perkahwinan bagi mengelakkan peningkatan kes penceraian daripda terus berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sememangnya angka kes perceraian menjadi kebimbangan kepada semua pihak terutama apabila melibatkan pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan. 

“Oleh itu kerajaan negeri juga bersama-sama mengambil langkah untuk membendung kes perceraian daripada berlaku untuk masa akan datang. 

“Antara langkah lain yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ialah mewujudkan mentor mentee dalam kalangan penjawat awam atau koperat dan orang awam, membina modul khas kemahiran menguruskan kewangan menganjurkan program kesedaran motivasi bulanan dan meneruskan program bulan madu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Nor memaklumkan terdapat 6,656 kes pembubaran perkahwinan atau penceraian di Terengganu sepanjang tempoh dua tahun bermula tahun lalu. 

Katanya, banyak faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku antaranya campur tangan keluarga, kurangnya penghayatan pendidikan agama Islam, tiada persefahaman, masalah kewangan, faktor ekonomi, pengaruh media sosial, tidak bertanggungjawab dan campur tangan keluarga.

“Ada juga berkaitan kehadiran orang ketiga, kegagalan komunikasi, tidak adil dalam berpoligami, masalah penagihan dadah, keganasan rumahtangga, penderaan mental dan fizikal serta cemburu.

“Kategori umur yang terbabit dengan kes penceraian adalah dalam lingkungan 21 sehingga 65 tahun,” katanya.


Tag: