• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Terengganu Dan Kelantan Meterai Perjanjian Sempadan Negeri - MB

Menteri Besar Terengganu dan Kelantan bertukar dokumen perjanjian.

PUTRAJAYA, 20 Jun - Kerajaan Terengganu dan Kelantan hari ini menandatangani perjanjian untuk menyelesaikan persempadanan kedua-dua negeri itu yang melibatkan jajaran 198.7 kilometer.

Persefahaman itu ditandangani oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob di Dewan Baiduri, Wisma Sumber Asli, di sini.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Dr. Xavier Jayakumar, Ketua Setiausaha KATS, Dato' Zurinah Pawanteh, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' A. Rahman Yahya dan Setiausaha Kerajaan Kelantan, Dato' Nazran Muhammad.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu penting bagi membolehkan rundingan penentuan sempadan maritim antara negeri hingga laut wilayah dimulakan.

Katanya, kesungguhan itu juga tidak akan berjaya tanpa pengorbanan yang dilakukan oleh anggota-anggota pasukan ukur Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).


"Terima kasih atas usaha yang bersungguh-sungguh ini, termasuklah hero yang tidak didendang, ada yang telah terkorban semasa menjalankan tugas ini kerana topografi berbukit bukau yang sangat mencabar.

"Perkara ini akan menjadi bahan sejarah yang sangat bernilai untuk generasi yang akan datang," katanya.

Sementara itu, Ahmad Yakob pula berkata, langkah berkenaan pastinya membawa banyak kebaikan kepada Kelantan terutamanya daripada segi penguatkuasaan.

"Supaya tanah dan kawasan di sempadan dapat dibangunkan dengan baik, dan kerjasama pun akan bertambah baik.

"Kerana kita sudah ada sempadan yang tetap, semoga dengan ini kita dapat mengawal sempadan kita daripada pencerobohan hutan," ujarnya.


Operasi bersama antara kerajaan negeri dan pusat yang berjaya dimuktamadkan hari ini sudah bermula sejak 2 Mac 2012 lepas.


Tag: