• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Dijangka Terima Lebih 20,000 Pelancong Asing Mulai Bulan Depan


Terengganu dijangka menerima kedatangan lebih 20,000 pelancong daripada beberapa negara Asia membabitkan 98 penerbangan secara terus daripada China ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus, secara berperingkat-peringkat mulai bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang berkata, penerbangan peringkat pertama dijangka melibatkan kira-kira 3,000 pelancong akan ke negeri ini.

"Agensi pelancongan di China menyasarkan dua penerbangan terus dalam tempoh seminggu dalam enam bulan pertama dan tiga kali seminggu selepas tempoh tersebut.

"Pelancong akan dibawa ke tempat-tempat pelancongan yang ada di Terengganu melalui pakej yang disediakan oleh agensi pelancongan yang berpengkalan di China selama empat malam lima hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik,Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Osman A.Bakar dan Ketua Polis Daerah ,DSP Adli Mohd Daud.

Sementara itu,Tengku Putera yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang turut mengulas mengenai pelaburan dan peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan di Terengganu.

"Kerajaan negeri akan menerima pelaburan swasta sebanyak RM624 juta pelaburan swasta pada tahun depan, termasuk 560 peluang pekerjaan yang akan disediakan terutama dalam bidang perhotelan.

"Kita mahu golongan belia bersedia merebut peluang pekerjaan dan di samping itu kerajaan negeri akan melancarkan program Jom Kerja bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat bermula tahun depan,"katanya.

Tag: