• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Terengganu FC Hampa Tamat Cabaran Piala FA 2019

Keputusan penuh perlawanan. Foto: Media TFC.


KUANTAN, 11 Mei - Terengganu Football Club (TFC) menamatkan cabaran di Piala FA 2019 apabila tewas di tangan Pahang 4 - 0, dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur, di sini, semalam.

Bertandang ke gelanggang lawan dengan kelebihan satu gol, Sang Penyu ditekan seawal permainan oleh serangan bertali arus Tok Gajah.

Tuan rumah yang kembali diperkuatkan dengan 'orang besi', Dickson Nwakaeme dan Safwan Baharuddin tidak menunggu lama untuk menyamakan agregat setelah Faisal Abdul Halim menolak bola 'muntah' yang ditepis penjaga gol TFC, Suffian Abdul Rahman ke gawang pelawat pada minit ke 7'.
Kipre beraksi baik namun gagal tembusi kubu lawan. Foto: Media TFC.

Pahang terus menggandakan asakan bagi mencari kelebihan jaringan tetapi separuh masa pertama berkesudahan hanya dengan satu gol hasil kecekapan Suffian menahan rangkaian percubaan bahaya mereka.

Sebaik wisel ditiupkan di babak kedua, Tok Gajah terus melancarkan serangan pertama dan berhasil apabila Nwakaeme dijatuhkan oleh Suffian dalam kotak penalti pada minit ke 46.

Tonggak import itu tenang menyempurnakan penalti dan memberikan tuan rumah kelebihan jaringan.

TFC bagaimanapun tidak putus semangat, serangan kembali diatur dengan beberapa percubaan bahaya.
Suffian berjaya selamatkan beberapa percubaan bahaya lawan. Foto: Media TFC.

Penyerang TFC, Tcheche Kipre hampir merapatkan kedudukan pada minit 61', tetapi tandukan golnya tidak dikira kerana berada di kedudukan offside.

Tersentak dengan kesungguhan TFC, Pahang melancarkan serangan balas dan Nwakaeme menambah derita pelawat dengan menolak mudah hantaran Norshahrul Idlan Talaha dua minit kemudian.

Mohamadou Sumareh seterusnya melengkapkan kemenangan mutlak Pahang apabila merembat masuk bola pada minit ke 74'.

Pahang menang dengan agregat 5 -2 sekaligus memadam harapan TFC untuk aksi separuh akhir musim ini.

Foto: Media TFC.






Tag: