• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu FC Lebur Hasrat Perak


Para 'pemain ke-12' bergembira dengan jaringan penyamaan Lee Tuck.

KUALA TERENGGANU, 2 Mac- Terengganu Football Club (TFC) berjaya meleburkan hasrat pasukan Perak FA untuk membawa pulang kemenangan apabila merampas satu mata menerusi gol di minit-minit akhir perlawanan dalam aksi kelima Unifi Liga Super Malaysia, malam tadi.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, jaringan penalti pada minit ke- 91 oleh Lee Andrew Tuck setelah dia dijatuhkan pertahanan Perak, berjaya menutup aksi kurang meyakinkan TFC.

Pasukan tuan rumah ketinggalan pada minit ke- 71 hasil jaringan pemain import, Wander Luiz dalam perlawanan yang nyata didominasi pasukan pelawat.


Namun, perubahan taktikal oleh ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim yang memasukkan Mohd Shahrul Aizad Zulkifli dan Mohamad Ashari Samsudin berjaya mengubah rentak Sang Penyu dan berhasil mengelakkan kekalahan di tangan juara Piala Malaysia 2018 itu.

Pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali turut mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan dalam aksi di Kuala Terengganu itu.

Tindakan beliau yang meniupkan wisel penamat sebaik sahaja tambahan masa diumumkan, menimbulkan kekeliruan dan kekecohan di kalangan pemain menyebabkan perlawanan tertunda sekitar 10 minit.

Perlawanan yang bersambung sehingga jam 11.00  malam, berkesudahan seri 1-1 dengan TFC terus gagal mengutip tiga mata dalam tiga aksi di kubu sendiri musim ini.




Tag: