• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Terengganu FC Menang Bergaya Ke Atas Melaka 3-0

Syamim ketika meraikan gol ketiga di minit ke-74 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.
KUALA TERENGGANU,  9 Mac - Melaka pulang dengan berputih mata apabila Terengganu Football Club (TFC) menyumbat tiga gol tanpa balas sekali gus memungut tiga mata penuh di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam ini. 

TFC menemui sentuhan gol pertama pada minit ke-23 melalui tandukan Nasrullah Haniff Johan selepas sepakan sudut dibuat oleh Lee Andrew Tuck.

Sehubungan itu, hasrat untuk meraih kemenangan pertama di halaman sendiri musim ini akhirnya tercapai apabila skuad TFC mencatat kemenangan yang bergaya ke atas Melaka United, dengan jumlah gol tersebut lalu melonjakkan kedudukan mereka dalam kelompok enam teratas Liga Super.

Dalam perlawanan ini, penjaga gol utama Suffian Rahman mengambil alih tugas selaku kapten pasukan daripada Kipre Tchetche untuk mengurangkan tekanan kepada penyerang import tersebut.

Kipre Tchetche (tengah) sebagai pemain tunggak utama TFC, sentiasa dikawal rapi pemain pertahanan Melaka.
Seperti biasa, pengendali Skuad Penyu, Irfan Bakti menggunakan formasi 4-1-4-1 dengan Kipre Tchetche menjadi ‘target man’ sambil dibantu oleh Sanjar Shaakmedov dan Lee Tuck. Manakala dua bekas pemain Pahang, Ashari Samsuddin dan Malik Arif mengisi posisi sayap kiri dan kanan.


TFC memulakan perlawanan dengan lebih kerap mengasak ke kubu Melaka dalam usaha mencari gol di awal babak pertama. Peluang pertama mereka hadir melalui sepakan percuma di sebelah sayap kanan setelah Malik dijatuhkan namun percubaan Adib Zainuddin melambung tinggi pada minit ke-14.

Melaka United dilihat mengalami kesukaran untuk mengekang kemaraan jentera serangan TFC dan masih mencari rentak untuk mendapatkan gol pertama mereka.


10 minit kemudian, usaha TFC mengasak ke kubu lawan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain pertahanan, Nasrullah Hanif memanfaatkan peluang dengan menanduk bola sepakan penjuru Lee Tuck.


Tersentak dengan jaringan itu, Melaka United terus mengaturkan serangan dan kerap menguji penjaga gol TFC. Peluang terbaik hadir melalui percubaan Safiq Rahim di minit ke-39 namun Suffian berjaya mendakap bola dengan kemas tanpa sebarang masalah.

Lee Tuck (tiga dari kiri) beraksi cemerlang menentang Melaka.

TFC jelas sekali tidak mahu keputusan seri berakhir sekali lagi pada malam ini apabila Lee Tuck membuat hantaran kepada Sanjar Shaakhmedov lalu disudahkan dengan kawalan dan rembatan cantik yang meletakkan Sang Penyu dua gol di hadapan sehingga tamat separuh masa pertama.


Memasuki babak kedua, Irfan Bakti membuat sedikit perubahan taktikal dan melakukan pertukaran pertama pemain dengan memasukkan Syamim Yahya menggantikan Malik Arif di posisi sayap kanan.


Percaturan itu ternyata memberikan pulangan yang lumayan apabila Syamim kerap memberi masalah kepada benteng pertahanan Melaka dan berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-74 setelah menerima umpanan cantik daripada Ashari Samsuddin.


Situasi itu menyebabkan Zainal Abidin tidak senang duduk lalu mengeluarkan penyerang import, Aselmo Arudda Da Silva dengan memasukkan Shukor Adan untuk mengawal benteng pertahanan. 

Namun ia ternyata sudah terlambat untuk mempamerkan kebangkitan dan terpaksa mengakui kehebatan jentera tengah TFC.


Kemenangan TFC malam ini merupakan hasil kebijaksanaan jentera tengah ditambah pula dengan percaturan yang menjadi daripada Irfan Bakti.


Segala-galanya tidak menjadi buat Melaka United malam ini apabila gagal mempamerkan corak permainan sebenar dan ketiadaan tonggak tengah, Liridon Krasniqi yang mengalami kecederaan ternyata memberi kesan yang besar kepada skuad itu.

Tag: