• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Terengganu FC Pulang Dengan Satu Mata

Foto ihsan - Media PKNP Fc
MANJUNG, 5 Mei - Terengganu Football Club (TFC) hanya berupaya membawa pulang satu mata apabila seri 2-2 menentang Kelab Bola Sepak Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pada aksi ke-12 Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam semalam. 

Terengganu FC yang turun tanpa perancang kreatif, Lee Andrew Tuck mencipta peluang sulung perlawanan pada minit ke-12 menerusi sepakan percuma Thierry Chanta Bin.

Sepakan pemain skuad kebangsaan Kemboja itu bagaimanapun tepat ke dakapan penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar.

Tuan rumah yang lebih menekan Terengganu FC menggembirakan kem PKNP FC di minit ke-21 selepas pertahanan import, Amani Manuel Santos Aquinaldo menanduk masuk bola hasil sepakan percuma diambil Mohamad Hafiz Ramdan.

Tchetche Kipre menyamakan kedudukan pada minit ke-30 apabila sepakan percuma cantik yang dilepaskannya gagal dijangkau Asyraaf Omar walaupun penjaga gol berusia 24 tahun itu sudah dapat membaca percubaan tersebut.

PKNP FC hanya memerlukan lima minit sahaja untuk kembali di depan selepas Thomas Abbey tidak melepaskan peluang menyambar dengan baik bola berpunca daripada hantaran lintang di sebelah kiri pintu gol Terengganu FC oleh Yashir Pinto sekaligus menewaskan Suffian Rahman.

Jaringan pada minit ke-35 itu jelas meningkatkan tempo permainan terutamanya PKNP FC yang lebih cenderung untuk melancarkan gerakan ke kubu lawan.

Dua minit kemudian, ledakan kaki kiri Hafiz Ramdan hampir melebarkan kedudukan tetapi kali ini Suffian lebih bersedia untuk menafikan percubaan tersebut.


Hafiz sekali lagi kecewa apabila sepakan percuma yang diambil pada masa kecederaan membias terkena benteng dan kemudiannya sekadar singgah di pintu gol.

Memasuki babak kedua, Suffian terus menjadi penghalang buat ketua pasukan PKNP FC itu untuk mencetak nama selaku penjaring setelah gerakan solo ke depan pintu gol hasil tandukan Giancarlo, disusuli rembatan padu dinafikan penjaga gol veteran itu.

Dalam keghairahan skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim mencipta gerakan, Sanjar Shaakhmedov meledakkan satu rembatan menarik dari luar kawasan penalti pada minit ke-68 untuk kembali mengikat kedudukan.

Berselang 10 minit kemudian, sepakan percuma Ahmad Syamim Yahya nyaris menghadiahkan jaringan kemenangan buat Terengganu FC tetapi rembatannya terkena tiang gol pada minit ke-78.

Keputusan tersebut kekal hingga wisel penamat ditiupkan Zulkarnain Zakaria untuk memberikan satu mata buat kedua-dua pasukan.

Satu mata dikongsi itu meletakkan Terengganu FC kekal menghuni tangga ke-7 dengan mengutip 16 mata manakala PKNP FC turun satu anak tangga selepas PJ City FC berjaya menewaskan Pahang 2-0 untuk berada di tangga ke-10 dengan 11 mata.

Tag: