• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Terengganu FC Pungut Satu Mata

Terengganu FC berpuas hati dengan satu mata di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah apabila  seri 2-2 dengan Kedah.
KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Terengganu FC (TFC) memperoleh satu mata seri dengan Kedah 2-2 di tempat sendiri malam ini.

Separuh masa pertama, Kedah yang bertandang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, mendahului 2-1 dengan  permainan timbal balas serangan dari kedua-kedua pasukan.

Gawang TFC bolos seawal minit ketiga permainan  apabila tendangan sudut Kedah dijaringkan oleh Muhamad Shakir Hamzah.

Gol penyamaan TFC hadir di minit ke 15 apabila sepakan kencang Sanjar Shaakmedov dari luar kotak penalti menembusi gol sebelah kanan Kedah, melangkaui jangkauan penjaga golnya, Abdul Hadi Abdul Halim.

Bagaimanapun Kedah mempunyai peluang menyumbat gol di minit terakhir permainan setelah mengucarkacirkan pertahanan TFC.

Diminit 45, Baddrol Bakhtiar menyumbat satu gol penyudah separuh masa pertama untuk Kedah berada di hadapan.

Di separuh masa kedua, beberapa minit sebelum tamat permainan, Kedah bermain dengan 10 pemain apabila pemain pertahanannya, Azmeer Yusof menerima kad merah kerana melakukan kekasaran ke atas pemain TFC.

Dengan kepincangan itu Sang Penyu mengambil peluang melakukan serangan bertubi-tubi ke pintu gol lawan dan gol penyamaan ditemui di masa tambahan.

Tcheche Hermann Brice Kipré menanduk masuk dengan bergaya hantaran dari sebelah kanan padang, mengalahkan penjaga gawang Kedah.

Tag: