• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu FC Tagih 'Magis Piala Malaysia' Bertemu Tok Gajah

TFC harap 'pemain ke-12' gegarkan stadium, Rabu ini. Foto: Media TFC
KUALA TERENGGANU, 30 April - Kemenangan 2-1 ke atas Petaling Jaya (PJ) City, Sabtu lalu menjadi tonik terbaik buat Terengganu Football Club (TFC) yang akan menghadapi juara bertahan, Pahang FA dalam saingan peringkat suku akhir Piala FA, Rabu ini.

Pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan perlawanan tersebut tidak dapat dijangka dan beliau berharap detik 'ajaib' sebagaimana dalam Piala Malaysia lalu akan tercipta buat pasukannya.

"Piala FA ada keunikan dan nilainya tersendiri. Jadi, kita tidak dapat jangka apa yang akan berlaku nanti.

Lee Andrew Tuck jadi sandaran kekang bahagian tengah Pahang. Foto: Media TFC

Sebagaimana yang berlaku di separuh akhir Piala Malaysia tahun lalu, tiada siapa jangka kita akan mengatasi Johor Darul Takzim (JDT), tetapi kita berjaya melakukannya," katanya ketika ditemui pemberita, di sini baru-baru ini.

Beliau memaklumkan, pasukan Tok Gajah juga turut berdepan cabaran permainan yang tidak konsisten.

"Dollah Salleh (Jurulatih Pasukan Pahang) juga ada beritahu bahawa pertemuan dengan TFC di Kuantan tempoh hari merupakan 'game' terbaiknya sepanjang musim ini," katanya.

Hujung minggu lalu, TFC berjaya mendapat rentak permainan lebih baik setelah bangkit dari ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama.

Antara aksi menentang PJ City tempoh hari. Foto: Media TFC
Bermain di gelanggang sendiri, PJ City yang terkenal dengan corak permainan fizikal tidak dapat mengekang asakan Sang Penyu yang agresif pada babak kedua perlawanan.

Tchetche Kipre yang semakin mendapat 'bisa' meledakkan gol kemenangan bagi menoktahkan tentangan tuan rumah.

Gol ketiganya dalam aksi Liga Super itu sekali gus memberikan keyakinan kepada pasukan dan penyokong TFC yang menanti kunjungan Tok Gajah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) nanti.

Penyokong harap Kipre gegar gawang Tok Gajah.



Tag: