• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Terengganu FC Terus Gagal Kutip Mata

Foto ihsan - Media Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 13 April - Terengganu Football Club (TFC) kecundang lagi, kali ini kepada pasukan Kedah dengan keputusan 3-0.

TFC yang berkunjung ke Stadium Darul Aman di Alor Setar mengalami kekalahan keempat musim ini dan jatuh ke kedudukan kelapan dengan hanya sembilan mata selepas aksi kesembilan Liga Super 2019, semalam.

Beraksi tanpa kelibat dua awang import, Lee Andrew Tuck yang cedera dan Theirry Chantha Bin yang digantung perlawanan, Sang Penyu berhempas pulas untuk mengimbangi permainan agresif tuan rumah seawal babak pertama.

Kedah mula mengungguli perlawanan pada minit ke 24' selepas Farhan Roslan dijatuhkan oleh Nasrullah Hanif Johan dalam kotak penalti.
Foto ihsan - Media Terengganu FC
Jonathan Bauman tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan skuad Lang Merah di depan.

Sepuluh minit kemudian, Penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abd Razak menambah kelebihan jaringan apabila tenang menewaskan penjaga gol, Mohd Suffian Abdul Rahman dalam situasi satu lawan satu.

Pada babak kedua, TFC meningkatkan corak permainan dan beberapa kali mengancam kubu Kedah namun tidak berjaya merapatkan jurang gol.

Kipre Tchetche yang ketandusan gol musim ini terus kecewa apabila rembatannya pada peluang terbaik di minit 66 sekadar melencong ke sebelah kiri gawang Kedah.

Sebaliknya, tuan rumah melengkapkan kekecewaan pasukan pelawat apabila Fernando Rodriguez merembat kencang menembusi gawang TFC pada minit ke 72' sekaligus mengesahkan tiga mata buat Kedah.

TFC akan berdepan Kelantan United di Kota Bharu dalam saingan Piala FA, Selasa ini sebelum melayan kunjungan Felda United di Kuala Terengganu hujung minggu hadapan.

Foto: Media Terengganu FC.



Tag: