• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Fight 2019 Hadiah Buat Peminat Muay Thai Tempatan

Antara aksi kejohanan edisi pertama tahun lalu.

KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kurang lima hari lagi, peminat sukan lasak Muay Thai berpeluang menyaksikan pertembungan 12 petarung dalam dan luar negara di Kejohanan Terengganu Fight 2019 yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, 2 Ogos ini.

Lebih menarik, kejohanan anjuran Persatuan Muay Thai Negeri Terengganu (PMTNT) dan Pertubuhan Kebajikan Bumiputera Malaysia (PKBM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu diadakan secara percuma bagi menghargai peminat-peminat sukan berkenaan di seluruh negeri.

Pengerusi Persatuan Muaythai Terengganu (PMTT) Najmi Abdullah berkata, kejohanan berkenaan diadakan bertujuan menarik minat bakat-bakat muda Muay Thai dalam usaha melahirkan atlet pelapis bertaraf profesional dari negeri itu.

Najmi bersama wakil PKBM dan MSNT sewaktu sidang media Terengganu Fight 2019.
“Kita menampilkan empat petarung profesional dari luar negara iaitu Felipe Lobo Amantha dari Brazil, Ayoub Sadam Sergama (Algeria), Rungravee Sasiprapa (Thailand) dan Latxasak Souliyavong (Laos).

“Paling istimewa, anak Terengganu yang juga merupakan kapten Muay Thai Negara, Muhamad Ali Yaakub serta atlet-atlet kebangsaan seperti pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Ain Kamarrudin dan petarung kebanggaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Ropi Kuda Merah juga akan beraksi,” katanya dalam sidang media kejohanan itu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut menyokong usaha yang dilaksanakan.

"Dengan adanya pendedahan seperti ini, generasi muda akan lebih terdedah dengan sukan lasak ini sekali gus mampu mencungkil bakat-bakat baharu di negeri ini.

"Cuma, kerajaan negeri amat mengharapkan penganjur akan mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam aspek pemakaian atlet-atlet yang bertanding," katanya.  

Untuk rekod, tahun lalu, kira-kira 5,000 peminat sukan lasak itu membanjiri Stadium Tertutup Gong Badak bagi menyaksikan kejohanan edisi pertama tersebut yang turut digegarkan dengan aksi hebat, lagenda Muay Thai, Saenchai.




Tag: