• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Inc Mendukung Pembudayaan 'Benci Rasuah'

SETIU, 28 Mei -  Syarikat pelaburan induk strategik kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd ( Terengganu Inc) sentiasa mendukung pembudayaan 'benci rasuah' serta pematuhan integriti di dalam gerak kerja.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, polisi etika kerja yang baik telah dibangunkan serta dijadikan amalan.

Kemudiannya polisi terbabit menurutnya, dilanjutkan kepada anak syarikat yang lain untuk diguna pakai oleh TDM Berhad, EPIC Berhad juga Ladang Rakyat Terengganu.

"Polisi seperti Anti-Rasuh dan Penyelewengan, Kod Etika Perniagaan, 'Whistleblowing', 'No-gift' dan 'Sponsorship and Donation' telah dirangka dan dilanjutkan kepada anak syarikat.

"Untuk mempertingkatkan kawalan dalaman, Terengganu Inc turut mewujudkan kerangka kawalan dalaman dan bagi memudahkan rujukan, Buku Panduan Anti-Rasuah dan penyelewengan juga telah dilancarkan secara rasmi.

"Sebelum ini, Terengganu Inc tidak asing lagi memberi kerjasama penuh dengan SPRM dengan menganjurkan 'Integriti-tea Talk With SPRM' pada awal Mac lalu dan Ikrar Bebas Rasuah semasa Bulan Integriti Peringkat Negeri 2022,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

Dalam pada itu Burhanuddin memaklumkan ' WAR ' merupakan program tanggungjawab sosial korporat pertama Terengganu Inc dengan pihak SPRM dan telah menjadikan Sekolah Kebangsaan Pulau Redang sebagai sekolah angkat Terengganu Inc.

"Dengan adanya program seumpana ini diharapkan agar ia dapat membentuk generasi pelajar yang peka terhadap isu rasuah, serta memupuk semangat integriti dan kejujuran dalam diri mereka,"ujarnya.