lightning-solid
Berita :
Terengganu Jadikan Itqanul Muluk Bita'dil As-Suluk Rujukan Pentadbiran
Terengganu Jadikan Itqanul Muluk Bita'dil As-Suluk Rujukan Pentadbiran
Adli Mohamad
27 Nov 25
591

KUALA TERENGGANU, 27 November - Itqanul Muluk Bi'tadil As-Suluk menjadi rujukan utama kerajaan hari ini bagi memastikan warisan perundangan dan falsafah tadbir urus berpaksikan syariat Islam terus menjadi tunjang identiti negeri bagi mencapai reda ilahi. 

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Itqanul Muluk Bita'dil As-Suluk merupakan undang-undang tubuh kerajaan Terengganu yang diisytiharkan pada tahun 1911. 

Katanya, ia perlu dihayati dengan penuh semangat oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini.

"Di sini, kita perlu menghayati bahawa kualiti pemerintahan diukur bukan berdasarkan kekayaan material bahkan diukur pada ketelitian dalam pengurusan dan ketegasan dalam memastikan keadilan dapat dilaksanakan kepada seluruh rakyat.

"Atas semangat ini saya menyeru semua pihak termasuk para pemimpin di peringkat negeri dan masyarakat, para penjawat awam serta semua rakyat untuk kita menjadikan  Itqanul Muluk Bita'dil As-Suluk sebagai panduan dalam setiap tindakan.

"Semoga semangat ini akan terus menyala dalam setiap entiti dan kerajaan untuk membawa Terengganu ke arah maju, berkat, dan sejahtera,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Program Penghayatan Itqan Al-Muluk Bita'dil As-Suluk Peringkat Negeri Terengganu 2025, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man, di sini, hari ini.

IMG-20251127-WA0139.jpg 465.6 KB

Mengulas lebih lanjut, Dr. Ahmad Samsuri berkata, program yang diadakan pada hari ini menjadi manifestasi kesungguhan untuk memastikan Terengganu ditadbir berpandukan syariat Islam.

"Tokoh-tokoh terdahulu dari Negeri Terengganu khususnya Almarhum Sultan Zainal Abidin III telah membentuk perundangan ini sebagai benteng kedaulatan dan sebagai penegasan bahawa syariat Islam mesti menjadi sumber utama dalam urusan pentadbiran dan kehidupan bermasyarakat," katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan