• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Kaji Kaedah Dalamkan Pelabuhan Chendering

Azman Ibrahim.
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan Terengganu sedang mengkaji kaedah terbaik untuk mendalamkan dan menaik taraf pelabuhan Chendering yang berada di bawah selian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, formula baharu dirangka berikutan kos untuk tujuan itu adalah sekitar RM23 juta dan ia berada di luar kemampuan kerajaan negeri buat masa ini.

Jelasnya, masalah tersebut berpunca daripada pemendapan pasir mengakibatkan air menjadi cetek dan menyukarkan bot untuk berlabuh terutamanya bot laut.

“Kerajaan negeri dicadang untuk membuka tawaran bagi pengalihan pasir kepada pihak yang berminat, dengan syarat kajian hidrologi harus disempurnakan dahulu oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan juga kajian struktur pelabuhan dari Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jadi melalui langkah diambil ini, kos kepada kerajaan negeri akan dijimatkan dan dalam masa yang sama boleh menambah hasil negeri dalam bentuk cukai pengalihan pasir,” ujarnya.

Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, semalam.

Tambah Azman lagi, mendapan pasir mengakibatkan benteng pemecah ombak rendah dan dilepasi oleh ombak.

Katanya, masalah pelabuhan itu turut mengakibatkan pemilik bot mengalihkan operasi mereka ke Tok Bali, Kelantan dan Pelabuhan Perikanan Kuantan, Pahang.

“Kita terpaksa mengambil respon ini apabila tiada tindakan drastik daripada pihak Kerajaan Pusat untuk mendalamkan dan juga menaik taraf infrastruktur-infrastruktur lain.

“Antara yang menjadi sungutan nelayan seperti kilang air batu yang tidak mampu memberi bekalan yang mencukupi kepada nelayan. Kita sudah turun berbincang dengan pihak persatuan nelayan,” tambah beliau lagi.


Tag: