• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Lokasi Penamat Jelajah Malaysia 2016


Terengganu bakal menjadi lokasi penamat bagi perlumbaan berbasikal, Jelajah Malaysia 2016 yang dijadualkan berlangsung dari 18 Oktober hingga 22 Oktober  ini. 
 
Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abd. Jalil berkata, kejohanan penjelajahan ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia melibatkan lima peringkat perlumbaan akan bermula di Kuala Lumpur sebelum menyusuri Negeri Perak, Pahang, Kelantan dan berakhir di Kuala Terengganu yang merangkumi jarak keseluruhan 756.9 kilometer (km).
 
Katanya, dua peringkat akhir akan berlangsung di negeri ini melibatkan Daerah Kuala Nerus, Kemaman dan Kuala Terengganu.
 
“Peringkat keempat yang bermula dari Machang, Kelantan dengan jarak 125.2 km akan berakhir di Gong Badak, Kuala Nerus.
 
“Manakala, para peserta akan memulakan kayuhan dari Kemaman ke lokasi penamat di Kuala Terengganu sejauh 142.7 kilometer pada peringkat akhir,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.
 
Sehingga kini, 17 pasukan tempatan dan luar negara telah mengesahkan penyertaan.
 
Jelajah Malaysia 2016 dianjurkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), dengan sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara serta diuruskan oleh Peloton Resources Sdn Bhd.

Tag: