• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Mampu Proses Padi Sendiri

MARANG, 3 November - “Keperluan kilang padi di Terengganu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi dihantar ke Kedah untuk diproses,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.

Menurut beliau, setakat ini terdapat empat kilang padi yang beroperasi di Terengganu iaitu Kilang Padi Bukit Kor di Marang, Kilang Bernas di Bukit Kenak, Jerteh dan Kilang Mutiara Timur di Kerandang, Jabi selain Kilang Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang di Baruh Masin Jabi yang mula operasi April lalu.


“Dengan kapasiti empat buah kilang padi yang ada di Terengganu sekarang ini, ia telah mencukupi untuk menampung keperluan pemprosesan pengeluaran padi bersih kita sekitar 60,000 metrik tan setahun.

“Pengeluaran ini telah berjaya mencukupkan dalam sekitar 53 peratus daripada kadar kecukupan sara diri (SSL) untuk 1.2 juta penduduk di Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika megadakan lawatan ke Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd di Marang, hari ini.


Katanya, sebelum ini padi-padi yang dikeluarkan daripada kawasan jelapang padi dan kawasan sawah di Terengganu terpaksa dihantar ke Kedah untuk diproses disebabkan masalah tidak cukup kilang.

“Jadi apabila kilang Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang telah beroperasi di tambah kilang padi daripada Bukit Kor dicampur dengan kilang Bernas dan Mutiara Timur, alhamdulillah satu daripada keperluan utama dalam rantaian pengeluaran beras Negeri Terengganu kita berjaya cukupkan,” ujarnya.