Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memilih Terengganu sebagai destinasi latihan skuad kebangsaan pada kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan rancak melakukan persiapan selama dua minggu bagi menghadapi Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025 di Pattaya, Thailand bermula 21 Mac 2025 ini.
"Pihak kerajaan Negeri Terengganu tiada halangan dan membuka sepenuhnya peluang untuk mewujudkan sebarang kerjasama melibatkan penggunaan fasiliti sukan di negeri ini dengan sebaiknya.
"Usaha mempersiapkan Padang Bola Sepak Pantai di Kompleks Sukan Negeri Terengganu tidak sempat untuk disiapkan buat kegunaan latihan pasukan kebangsaan kali ini.
"InsyaAllah, tahun-tahun mendatang diharap ia akan menjadi lokasi pilihan. Padang berkenaan dijangka siap pada pertengahan Mac ini.
Hishamuddin berkata demikian dalam satu hantaran Facebook rasminya selepas meninjau persiapan akhir Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan yang membuat latihan akhir di Gelanggang Bola Sepak Pantai Telaga Batin, Kuala Nerus baru-baru ini.
Turut bersama, Mohd Saiful Md Noor, Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan sepanjang tinjauan tersebut berlangsung.
Tambah beliau, jurulatih bagi skuad kebangsaan itu menjelaskan bahawa pemain yang dipilih juga memiliki pengalaman beraksi di pentas Asia dengan menggabungkan pemain-pemain muda menyarung jersi pasukan.
Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga menganggotai jawatan sebagai Jawatankuasa Eksekutif FAM sempat merakamkan pesanan semangat beliau untuk memberi keyakinan kepada pemain.
"Selamat maju jaya buat semua yang terpilih mewakili Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan yang akan mewakili Malaysia bertanding di peringkat Asia," ujarnya mengakhiri hantaran tersebut.