KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Terengganu memulakan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dengan penganjuran acara sambutan di pintu masuk utama negeri itu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Gong Badak, sekali gus menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai destinasi wajib singgah pelancong.
Program yang berlangsung sempena tahun baharu 2026 itu merupakan sebahagian daripada sambutan serentak di 55 lokasi pintu masuk di seluruh negara, dengan Terengganu dipilih sebagai antara lokasi utama penganjuran.

"Tahun Melawat Malaysia pada pandangan saya bukan setakat untuk kempen, tetapi kita mesti tunjukkan keakraban kita, kesatuan kita dan keaslian kita untuk memastikan semua pelancong yang hadir ke negara kita Malaysia, dan tempat yang mereka wajib singgah ialah negeri Terengganu.
"Maka, saya daripada pihak kerajaan negeri, kami bersungguh-sungguh untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia supaya kita dapat pastikan sebahagian besar pelancong yang datang ke negara kita singgah ke negeri Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan sambutan ketibaan pelawat dan penumpang penerbangan di LTSM, termasuk ketibaan pesawat pertama AirAsia (AK6224) dari Kuala Lumpur pada jam 8.15 pagi, diikuti Malaysia Airlines (MH1326) pada jam 9.15 pagi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak serta wakil daripada Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).
Menurut Razali, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada lima kluster utama pelancongan, iaitu Kuala Terengganu, pulau dan pantai, Kenyir Geopark, seni budaya dan warisan, serta alam semula jadi, dengan penekanan khusus terhadap kluster seni dan budaya sebagai kekuatan unik Terengganu.
"Kita mempunyai budaya yang sangat unik di negeri Terengganu. Kita ada empat etnik dan lebih daripada lima dialek Terengganu yang kita ketengahkan untuk dijadikan satu produk pelancongan negeri," jelasnya.

"Dan dalam masa yang sama kita mempunyai dua muzium. Satu muzium untuk barangan-barangan dan satu lagi untuk kita panggil muzium hidup yang kita panggil KBT. Kampung Budaya Terengganu.
"Di situ ada persembahan wayang kulit, di situ ada persembahan Ulik Mayang, tarian, semua kebudayaan kita letak di situ.
"Dan sebab itu kita minta kepada agensi-agensi pelancongan supaya bawa pelancong yang datang ke negeri Terengganu ke tempat yang saya sebutkan tadi, Kampung Budaya," ujarnya.
Dalam pada itu, pihaknya juga telah 'turun padang' ke semua daerah Terengganu bagi mengenalpasti kebudayaan dan warisan tempatan yang berpotensi untuk dijadikan sebagai tarikan utama kepada pelancong domestik dan antarabangsa sepanjang VM2026.