• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Negeri Pertama Wujud Jawatan Timbalan Ketua Pendaftar


Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Terengganu menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar apabila meluluskan satu rang undang-undang baharu berkaitan pindaan Enakmen Undang - Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, pindaan ini melibatkan seksyen 27 yang bertujuan mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar bagi melaksanakan tugas-tugas Ketua Pendaftar.

Jealsnya, ia khusus dalam hal mendaftarkan perceraian dan mengeluarkan surat perakuan cerai dan ianya masih tertakluk kepada syarat-syarat sebagaimana termaktub pada enakmen ibu seksyen 52(6) (pindaan) 2019.

“Syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri kerana dengan pindaan ini, Terengganu merupakan negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar.

“Ini dapat memastikan urusan pendaftaran cerai dan pengeluaran surat perakuan cerai dapat berjalan lancar dan efektif terutama berkaitan kuasa menandatangani dan mendaftarkan surat perakuan cerai.Dengan ini, surat perakuan cerai dapat dikeluarkan dan diserahkan kepada pemohon dalam tempoh waktu yang ditetapkan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ditangguhkan semalam.

Rang undang - undang yang bernama Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu)(Pindaan) 2019 ini telah diluluskan dengan mendapat sokongan sebulat suara dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas Tahun 2019 yang bersidang selama dua hari bermula 15  hingga 16 Julai di Wisma Darul Iman.

Mengulas tentang pindaan enakmen ini, Ridzuan menegaskan bahawa ini menunjukkan betapa serius dan tingginya komitmen kerajaan negeri dalam usaha untuk memartabat dan memperkasakan lagi perlaksanaan syariat Islam di Terengganu.

Tag: