Oleh : NURUL NATASHA SURIN
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Tagline 'Terengganu Nelang' dipilih sebagai identiti rasmi Kontinjen Negeri Terengganu bagi Temasya Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, melambangkan kebangkitan baharu sukan negeri ke arah pencapaian lebih cemerlang di peringkat kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pemilihan tagline itu mencerminkan tekad, semangat juang serta kesatuan seluruh warga kontinjen dalam menghadapi temasya sukan terbesar negara itu.
“Kebangkitan tersebut disokong melalui pelantikan awal kepimpinan kontinjen melibatkan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat bagi memastikan perancangan persiapan dapat dilaksanakan secara tersusun, berfasa dan berkesan.
“Peranan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat amat penting dalam memberikan sokongan moral, kebajikan serta motivasi berterusan kepada atlet sepanjang tempoh persediaan sehingga temasya berlangsung,” ujarnya.
“Atlet akan diberikan pendedahan melalui penyertaan kejohanan secara strategik termasuk di peringkat antarabangsa, di samping memperkukuhkan aspek psikologi, mental dan kerohanian bagi memastikan prestasi optimum menjelang kejohanan sebenar,” kata beliau.
Sukma XXII Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, dengan Kontinjen Terengganu dijangka menyertai 35 daripada 37 sukan yang dipertandingkan, menzahirkan komitmen penuh negeri terhadap pembangunan sukan berprestasi tinggi.
Majlis pelantikan itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, serta barisan kepimpinan dan pegawai sukan negeri.