Terengganu Nikmati Impak Ekonomi Pelancongan Sukan
KUALA TERENGGANU, 22 November - Kejohanan Sukan Gabungan Agensi-agensi Amanah Bumiputera & Perusahaan- Perusahaan Awam Malaysia (Gemaputra) yang akan membuka tirai perlawanan esok dijangkakan turut memberi impak kepada industri pelancongan negeri secara berterusan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.
YDP Gemaputra Malaysia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, dijangkakan seramai 1,200 orang atlet melibatkan 14 Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) akan berkampung di Kuala Terengganu sepanjang kejohanan berlangsung bermula hari ini hingga 26 November.
"Ini tidak termasuk keluarga mereka yang turut hadir memeriahkan lagi suasana.
"Bukan hanya semata-mata sukan, yang kita lihat kehadiran mereka akan memeriahkan tempat-tempat pelancongan di Terengganu.
"Saya dimaklumkan hotel-hotel di sini pada masa ini penuh ditempah kontinjen yang hadir," katanya.
Tambahnya, PMINT sendiri bakal merasai pengalaman berbeza dengan penganjuran kejohanan kali ini.
"Kali terakhir kita menjadi tuan rumah adalah pada tahun 1996 dengan mempertandingkan 15 acara, tetapi saya rasakan pengalaman kali ini berbeza.
"Saya harap sepanjang program, jawatankuasa dilantik dapat melaksanakan tugas dengan baik. Dengan cuaca semasa yang baik, harapnya kita dapat menyediakan program terbaik," katanya.
Antara hotel-hotel yang terlibat sebagai penginapan kontinjen itu adalah hotel patuh syariah Terengganu iaitu Paya Bunga Hotel, Grand Puteri, Tanjung Vista, Grand Continental, Sri Malaysia, YT Midtown dan Hotel Quinara.