lightning-solid
Berita :
Terengganu 'On-Track', Rekod Lima Kejayaan Besar - Pelaburan Tembus RM14.3 Bilion
Terengganu 'On-Track', Rekod Lima Kejayaan Besar - Pelaburan Tembus RM14.3 Bilion
Husaif Mamat
10 Nov 25
1736

KUALA TERENGGANU, 10 November – Terengganu terus berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pembangunan ekonomi dan kesejahteraan menyeluruh rakyat apabila negeri ini merekodkan lima kejayaan besar termasuk kemasukkan pelaburan kumulatif sebanyak RM14.3 bilion bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sehingga Jun 2025, berbanding RM9.6 bilion sepanjang RMK11.

Momentum itu mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai antara destinasi pelaburan utama Pantai Timur, disokong prestasi fiskal yang stabil dan perancangan pembangunan strategik yang berterusan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2026 hari ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.938 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus termasuk RM450 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan. 

Katanya, hasil yang dianggarkan adalah berjumlah RM1.998 bilion dengan menekankan komitmen terhadap pertumbuhan ekonomi seimbang dan kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus, daya tahan ekonomi dan pemeliharaan sosial, selaras sasaran pertumbuhan ekonomi antara 3.4 peratus hingga 4.2 peratus, peningkatan hasil negeri dan pengukuhan indeks kebahagiaan rakyat.

"Prestasi semasa turut memperlihatkan peningkatan purata hasil janaan negeri sebanyak 11.9 peratus kepada RM264.88 juta setahun dalam RMK12 berbanding RM236.77 juta setahun sepanjang RMK11, manakala ekonomi berkembang 4.1 peratus setahun berbanding 1.9 peratus dalam tempoh sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan media selepas pembentangan Belanjawan 2026 Terengganu.

Menurut beliau lagi, ekosistem keusahawanan dan pelaburan turut menunjukkan kemajuan jelas apabila bilangan syarikat beroperasi meningkat 12.7 peratus kepada 38,448 berbanding 34,126 pada 2024. 

"Pasaran pekerjaan negeri juga bertambah baik apabila kadar pengangguran mereda kepada 2.8 peratus pada suku kedua 2025 berbanding 3.4 peratus pada suku keempat 2024.

"Terengganu turut mengekalkan kedudukan sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64 pada 2024, serta peningkatan kadar kebahagiaan kepada 89.4 peratus pada 2025 berbanding 87.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan itu, Ahmad Samsuri turut menzahirkan penghargaan atas sokongan semua pihak.

"Saya percaya bahawa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh warga sektor awam, pihak swasta dan rakyat terhadap Kerajaan Negeri adalah kunci sebenar kepada prestasi ini dan begitu juga kejayaan akan datang - insyaAllah," katanya.

Belanjawan Negeri 2026 bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi” menegaskan iltizam kerajaan negeri untuk mengekalkan momentum pembangunan serta memastikan kesan manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.


Tag :

Artikel Berkaitan