• 14 Mei 2024 | 6 Zulkaedah 1445

Terengganu Pergiat Program Kesedaran Alam Sekitar

Dr. Alias Razak.
SETIU, 27 April - Kerajaan negeri terus mempergiatkan program bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan rakyat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, alam sekitar yang bersih, sihat dan berkualiti adalah penting untuk mejamin kesejahteraan kepada semua masyarakat.

Jelasnya, kegagalan memelihara khazanah bernilai itu akan menyebabkan kemerosotan kualiti ekosistem seperti pencemaran yang akhirnya menyumbang kepada kepupusan alam.

“Pelbagai program dan inisiatif telah kita anjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak supaya kesedaran masyarakat setempat dan juga pelajar dapat dipertingkatkan.

“Sekali gus ia akan memberi manfaat kepada generasi akan datang untuk terus melihat khazanah alam yang cukup bernilai ini, seperti tuntung darat, tuntung laut dan spesis pokok sungai,” katanya.
 
Berucap merasmikan majlis penutup.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Terengganu Setiu Wetland Camp (T-SWetC) 2019 di Bari Beach Resort, di sini kelmarin.


Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Konservasi Semenanjung Malaysia, Norizan Mohd Mazlan, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Rosman Roslan, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar serta Timbalan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Wan Zuraidi Wan Zaid.

Alias turut memberi peringatan tentang usaha menjaga dan memberikan kesedaran itu tidak hanya tertumpu kepada pihak kerajaan dan organisasi tertentu sahaja.

Sebaliknya beliau berkata, semua pihak perlu berusaha untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti tersebut.

“Usaha pemeliharaan dan pemuliharaan, bukan hanya pihak kerajaan yang harus dipertanggungjawabkan, tetapi semua pihak bekerjasama dalam usaha ini demi masa depan generasi akan datang.


“Apa yang penting setiap individu perlu bersedia membuat perubahan kepada cara hidup seharian dengan amalan-amalan mesra alam seperti amalan kitar semula,” tegas beliau.

Program T-SWetC 2019 yang dianjurkan oleh Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) dengan kerjasama PSKT itu menghimpunkan seramai 80 pelajar dari 19 buah sekolah seluruh Terengganu.

Program itu bertujuan memupuk kesedaran melalui pendidikan tentang kepentingan dan keindahan Tanah Bencah Setiu.

Tag: