Graduan Perlu Tingkat Kemahiran Bagi Penuhi Keperluan Industri
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Kerajaan Terengganu sedang giat merangka strategi bagi memperkasa sektor sukan sebagai langkah membendung masalah sosial dalam kalangan belia negeri itu.
Menyedari kebimbangan terhadap peningkatan gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan penggunaan 'vape' berasaskan bahan terlarang, kerajaan negeri melihat sukan sebagai medium terbaik untuk menarik golongan muda kepada aktiviti yang lebih sihat dan bermanfaat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, dalam satu sesi audiosiar bersama Tarmacsportsmy, menegaskan bahawa penglibatan belia dalam sukan bukan sekadar untuk berpeluh, tetapi sebagai satu cara untuk mengisi masa mereka dengan perkara yang lebih berfaedah.
“Kita (kerajaan negeri) memandang tinggi pencapaian sukan kerana ia merupakan antara elemen penting dalam menurunkan kadar isu sosial dalam negeri.
“Apabila anak muda sibuk dengan latihan dan persaingan dalam sukan, mereka kurang terdedah kepada pengaruh negatif seperti penyalahgunaan dadah dan gejala sosial yang lain,” ujar beliau.
Sehubungan itu jelasnya, kerajaan negeri sedang menyusun agenda sukan yang lebih kompetitif bagi memastikan belia tidak sekadar bersukan untuk berseronok, tetapi turut mempunyai hala tuju yang lebih jelas dalam bidang tersebut.
Kata Hishamuddin, salah satu inisiatif utama yang bakal diperkasakan ialah aktiviti berbasikal di Terengganu, yang suatu ketika dahulu diiktiraf sebagai ‘Land of Cyclists’.
"Penglibatan belia dalam sukan berbasikal itu semakin berkurangan dan perlu dihidupkan kembali.
“Maka kita mengambil tindakan untuk tahun 2025 ini, kita mesti merancakkan kembali aktiviti berbasikal di Terengganu.
“Kita akan mengadakan lebih banyak acara seperti ‘fun ride’ supaya belia menantikan dan teruja untuk menyertai aktiviti sebegini.
“Dengan adanya program seperti ini, Insya-Allah, walaupun bukan sepenuhnya, kita dapat membantu membendung masalah sosial dalam negeri,” katanya.
Selain sukan berbasikal, kerajaan negeri turut merancang untuk memperkenalkan lebih banyak program lain yang bakal dapat memberi impak positif kepada pembangunan belia.