• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Peruntuk RM800,000 Untuk Pembukaan Sektor Pelancongan

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kerajaan negeri telah memperuntukkan dana sebanyak RM800,000 sebagai persediaan untuk membuka sektor pelancongan dengan lebih luas apabila rentas negeri dibenarkan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata peruntukan yang telah diluluskan pihak kerajaan  tersebut meliputi kerja membaik pulih, menaik taraf kemudahan pelancongan termasuk pusat rekreasi di seluruh negeri ini.

"Saya yakin pembukaan menyeluruh paling lewat ialah 1 Januari tahun hadapan, dimana sekarang ini  hampir semua lokasi atau pusat pelancongan sudah kembali beroperasi.Cuma di pulau sahajalah mungkin akan ditutup dahulu  sementara kerana musim tengkujuh laut akan bergelora.

"Walaupun ada satu atau dua operator yang bercadang untuk terus buka tanpa tutup. Dalam melakukan persediaan ini Pihak Jabatan Pelancongan turut memberikan peruntukkan tambahan untuk program gotong royong. Di samping turut membangunkan lima hingga 10 produk pelancongan di setiap daerah dalam melakukan persiapan pembukaan.

"Bila pelancong datang nanti mereka boleh pergi dari Besut hingga Kemaman, kalau dari Kuala Lumpur boleh singgah Kemaman dahulu, kita jangka dalam sejuta jugalah bajet itu, untuk tahun hadapan akan ada lagi perancangan untuk lebih banyak kelulusan projek pembangunan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada sidang akhbarnya semasa hadir merasmikan pembukaan Perkampungan Budaya, di Muzium Negeri, di sini, semalam.

Dimana katanya, Kampung Budaya Terengganu yang menjadi produk baharu pelancongan di negeri ini dibuka bermula semalam dan tiada bayaran masuk dikenakan sehingga 31 Disember.


Tag: