• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Rekod Pencapaian SDG Baik - Ketua Perangkawan

KUALA NERUS, 22 Jun – Terengganu merekodkan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang baik bagi beberapa indikator dalam lima bidang tumpuan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin berkata, bidang terbabit melibatkan kemajuan masyarakat, kemakmuran, keamanan, kerjasama dan penjagaan bumi.

Katanya, kemajuan Masyarakat (People), kadar kematian disebabkan kemalangan jalan raya menurun daripada 20.2 (2019) kepada 16.5 (2020) bagi setiap 100,000 orang penduduk.

“Sementara itu, kadar pengangguran pada tahun 2021 bertambah baik kepada 4.0 berbanding 4.1 peratus pada tahun sebelumnya yang merupakan salah satu bidang tumpuan kemakmuran (Prosperity),” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas seminar SDG bertempat di UMT di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.

Tambah Mohd Uzir lagi, bagi bidang tumpuan Kerjasama (Partnership) turut menunjukkan pencapaian yang baik iaitu peratusan individu yang menggunakan internet meningkat kepada 95.5 peratus (2021) berbanding 84.2 peratus (2020).

"Manakala bidang tumpuan Keamanan (Peace), bilangan CCTV meningkat kepada 172 (2020) daripada 157(2019).

“Seterusnya, indikator bagi bidang Penjagaan Bumi (Planet) iaitu peratus penduduk yang menggunakan perkhidmatan air minuman yang diuruskan dengan selamat kekal tinggi iaitu 96.0 peratus bagi tahun 2018 dan 2019,” katanya

 


Tag: