• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Terengganu Sentiasa Pantau Ajaran Sesat


KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sentiasa memantau dari semasa ke semasa usaha menyekat penyebaran ajaran sesat di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Osman Muda berkata, walaupun tahun ini tiada sebarang maklumat mengenai gerakan ajaran sesat yang dilaporkan, namun pihaknya tetap melakukan pemantauan bagi mengelak ia tersebar dan berleluasa.

“Kegiatan ajaran sesat di negeri ini masih lagi dalam kawalan dan kita turut mengharapkan kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan terdapat kegiatan menyeleweng dan penyebaran ajaran sesat di kawasan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kegiatan ajaran sesat di negeri ini selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) Peringkat Negeri Kali Ke-4 di Taman Tamadun Islam, hari ini.

Katanya, terdapat pelbagai faktor menyebabkan individu terjebak de­­­ngan ajaran sesat, antaranya di­se­babkan kejahilan individu itu sendiri terhadap ajaran Islam di­tambah pula dengan perkembangan teknologi maklumat yang memungkinkan penyebaran pelbagai informasi kepada sesiapa sahaja.

“Kebiasaannya, mereka yang terpengaruh tidak mengira had umur, ada yang muda, ada yang tua dan boleh dikatakan pelbagai peringkat umur,” ujarnya.


Tag: