• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Terengganu Tekad Teruskan Kecemerlangan Sukan

Hishamuddin Abdul Karim.
KUALA NERUS, 31 Mac - Kerajaan Terengganu bertekad untuk meneruskan kecemerlangan sukan negeri itu dengan melaksanakan beberapa langkah awal terhadap setiap persatuan dan badan yang terbabit.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, keseriusan kerajaan dapat dilihat melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) apabila perbincangan dan program bersama telah diatur awal bagi menghasilkan keputusan yang lebih cemerlang.

Jelasnya, usaha tersebut bagi memastikan keupayaan semua pihak  dalam menguruskan sukan dan atlet dapat dioptimumkan sebaik mungkin untuk terus mara ke hadapan bagi mencapai keputusan yang gemilang.

“Inilah yang telah dibuktikan, apabila selesai sahaja Sukan Malaysia (SUKMA) tempoh hari, kita dapat lihat usaha gigih MSNT terus mengorak langkah bagi menghadapi SUKMA 2020, walaupun kita masih di tahun 2019,” ujarnya.

“Tuan-tuan juga dapat menyaksikan, dalam suasana Institut Sukan Negara (ISN) ditutup, kerajaan negeri menyambut saranan yang dikemukakan oleh MSNT untuk mengekalkan kewujudan Institut Sukan Negeri di peringkat negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Pemantapan Tadbir Urus Badan Sukan Negeri Terengganu di Dewan Banquet, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini hari ini.
 
Persatuan dan badan sukan bertekad terus julang nama Terengganu.
Turut hadir, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Dato' Seri Mohamad Norza Zakaria, Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu, Naib Presiden MOM, Prof. Datuk Dr Shamala Subramaniam, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dr Suhardi Alias serta Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan, Asmadi Mohamad.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut memberi peringatan bahawa hasrat murni daripada pentadbiran tertinggi itu akan terhalang sekiranya tidak disambut oleh semua persatuan sukan.

Jelasnya, semua pihak harus berganding bahu dengan semangat ‘we bleed black and white’ walaupun wujud perbezaan agama, bangsa mahupun fahaman politik.

“Usaha MSNT ini tidak akan tercapai jika persatuan-persatuan sukan negeri Terengganu membawa hala tuju yang tidak jelas untuk memimpin dan mengurus persatuan.

“Dalam masa yang sama, kita juga akan gagal kalau kita sibuk untuk bergaduh dan bersaing dengan tidak sihat. Kekuatan kita mestilah melihat atas nama hitam dan putih.

“Lupakan semua perbezaan, fokus ke mana tujuan kita, kita ingin membawa hari ini, Terengganu yang cemerlang,” tambah beliau.

Tag: